Lompat ke kandungan

Doa Seorang Wanita yang Buta Dijawab

Doa Seorang Wanita yang Buta Dijawab

 Yanmei ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa di Asia. Pernah sekali, dia memimpin seorang wanita buta yang bernama Mingjie untuk menyeberangi jalan. a Mingjie berkata kepadanya, “Terima kasih. Moga Tuhan memberkati kamu!” Kemudian, Yanmei menanya Mingjie jika dia sudi untuk berjumpa lagi dan bincang tentang Bible, dan Mingjie pun setuju. Sebenarnya, Mingjie berkata bahawa dia berdoa setiap hari agar Tuhan membantu dia menemui sidang Kristian yang sejati. Mengapa?

 Pada tahun 2008, kawan Mingjie yang juga buta telah menjemputnya untuk menghadiri acara gereja yang diadakan bagi orang kurang upaya. Seorang paderi telah menyampaikan sebuah khutbah di gereja itu. Kemudian, dia menanya paderi itu khutbahnya dipetik daripada buku apa. Paderi itu menjawab bahawa khutbahnya berasal daripada Bible, Firman Tuhan yang benar. Setelah itu, Mingjie bertekad untuk membaca Bible. Dia mendapatkan Bible Braille dalam bahasa Cina yang mempunyai 32 jilid dan menggunakan masa selama enam bulan untuk membacanya. Seraya dia membaca Bible, dia sedar bahawa ajaran gereja mengenai Tritunggal adalah salah, dan Tuhan mempunyai nama iaitu Yehuwa.

 Lama-kelamaan, Mingjie berasa kecewa dengan kelakuan ahli gereja. Mereka tidak hidup selaras dengan ajaran Bible. Contohnya, ahli gereja akan memberikan makanan yang baru dimasak kepada hadirin, tetapi orang buta pula mendapat saki-baki makanan. Hal ini membuat Mingjie sangat sakit hati. Jadi dia mula mencari gereja lain di kawasannya. Itulah sebabnya dia berdoa agar dapat mencari sidang Kristian yang sejati.

 Mingjie menerima tawaran pembelajaran Bible kerana dia tersentuh dengan kebaikan hati Yanmei. Tidak lama kemudian, dia menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa buat kali pertama. Mingjie berkata, “Saya tidak akan melupakan perjumpaan pertama yang saya hadiri. Saudara dan saudari menyambut saya dengan ramah. Saya sangat tersentuh. Meskipun saya buta, saya dapat merasai kasih yang tulus dan yang tidak berat sebelah.”

 Mingjie membuat kemajuan dan menghadiri perjumpaan secara tetap. Dia paling suka menyanyi lagu rohani. Namun oleh sebab buku lagu rohani tidak tersedia dalam Braille, dia membuat buku lagu sendiri dengan bantuan sidang. Dia menggunakan 22 jam untuk menyiapkan 151 buah lagu! Pada April 2018, Mingjie mula menyertai kerja menginjil dan meluangkan sekitar 30 jam setiap bulan untuk kerja itu.

Kerja mengubah teks ke dalam Braille sangat memenatkan

 Untuk membantu Mingjie membuat persediaan bagi pembaptisan, Yanmei telah menyediakan rakaman audio untuk semua soalan dan ayat Bible dalam buku Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa. Mingjie telah dibaptis pada Julai 2018. Dia berkata, “Kasih yang ditunjukkan saudara saudari semasa di konvensyen sangat menyentuh hati saya. Saya sangat terharu sehingga mula menangis. Akhirnya, saya dapat menjadi sebahagian daripada sidang Kristian yang sejati.” (Yohanes 13:34, 35) Kini, Mingjie menjadi penginjil sepenuh masa kerana dia ingin menunjukkan kasih yang pernah dirasainya kepada orang lain.

a Nama telah diubah.