Lompat ke kandungan

Banjir yang Membawa Berita Baik

Banjir yang Membawa Berita Baik

 Pada tahun 2017, 12 orang Saksi telah memulakan perjalanan dengan bot dari Mosquito (Miskito) Coast di Nicaragua. Nama bot mereka ialah Sturi Yamni. Seorang pemandu bot yang bernama Stephen berkata, “Matlamat kami adalah untuk menggalakkan sebuah kumpulan kecil Saksi yang tinggal di kawasan terpencil dan membantu mereka menyebarkan berita baik di kawasan mereka yang luas.”

 Dua belas orang Saksi itu bertolak dari Pearl Lagoon dan memulakan perjalanan yang sejauh 200 kilometer melalui Sungai Río Grande de Matagalpa. Dalam bahasa Miskito, nama bot mereka bermaksud “Berita Baik.” Mereka tidak sangka bahawa nama bot mereka akan menjadi sangat bermakna bagi penduduk di kawasan sungai itu. Selepas 12 jam perjalanan dan satu malam berehat, akhirnya Saksi-Saksi tiba di destinasi mereka, iaitu La Cruz de Río Grande. Mereka disambut dengan ramah oleh enam orang saudara saudari tempatan.

 Pada malam itu, bencana melanda. Ribut yang kuat dan hujan lebat terjadi di bahagian atas Sungai Río Grande de Matagalpa. Dalam tempoh beberapa jam sahaja, air sungai melimpah dan terus naik selama dua hari. Akibatnya, Dewan Perjumpaan dan banyak rumah di La Cruz dibanjiri air. Saudara saudari yang melawat membantu orang tempatan untuk meninggalkan rumah mereka. Kebanyakan daripada mereka tinggal di rumah dua tingkat kepunyaan seorang Saksi selama dua malam.

Dewan Perjumpaan di La Cruz dibanjiri air

 Pada malam ketiga, datuk bandar La Cruz pergi meminta bantuan daripada Saksi-Saksi yang melawat itu. Sturi Yamni merupakan satu-satunya bot yang cukup kuat untuk merentasi sungai yang dibanjiri itu. Jadi datuk bandar ingin mereka membawa sekumpulan orang untuk membantu penduduk di kawasan lain yang terjejas. Saudara saudari berasa gembira untuk membantu.

 Pada keesokan pagi, tiga orang Saksi memulakan perjalanan bersama dengan kumpulan orang yang membantu itu. Stephen berkata, “Pada masa itu, air sungai mengalir dengan sangat deras, dengan kelajuan lebih daripada 18 kilometer sejam. Pusaran air yang besar terbentuk dan ada banyak pokok besar hanyut di sungai.” Walaupun situasinya mencabar, bot itu berjaya sampai ke tiga kawasan perkampungan.

 Tiga orang Saksi itu menggunakan peluang ini untuk memberikan kelegaan kepada penduduk kampung. Mereka juga mengedarkan majalah Sedarlah! terbitan 2017 yang bertajuk, “When Disaster Strikes—Steps That Can Save Lives” (“Langkah-Langkah yang Dapat Menyelamatkan Nyawa Apabila Bencana Melanda”). Majalah itu sangat sesuai pada masa itu.

 Penduduk di kawasan sungai sangat menghargai bantuan praktikal dan rohani yang diberikan oleh para Saksi. Sesetengah orang kampung berkata, “Para Saksi rela membantu pada masa yang susah.” Yang lain pula berkata, “Mereka mempunyai kasih sejati untuk orang lain.” Selepas melihat usaha para Saksi untuk membantu rakan seiman dan orang lain, ramai orang kampung lebih sudi mendengar mesej Bible yang memberikan kelegaan.

Marco, salah seorang pemandu bot, baru sahaja turun dari bot Sturi Yamni untuk pergi mengongsi berita baik dengan penduduk kampung

Bot Sturi Yamni berhenti di tepi kampung yang dibanjiri air