Lompat ke kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

“Jenayah dan Cinta Akan Wang Membuat Saya Menderita”

“Jenayah dan Cinta Akan Wang Membuat Saya Menderita”
  • Tahun Lahir: 1974

  • Negara Asal: Albania

  • Latar Belakang: Pencuri, pengedar dadah, banduan

KISAH SILAM SAYA

 Saya lahir di Tiranë, ibu kota Albania. Bapa saya seorang lelaki yang jujur dan dia bekerja keras untuk menyara keluarga kami. Tetapi kami selalu tidak cukup wang. Semasa kecil, saya sangat sedih kerana kami miskin. Saya tiada kasut dan makanan yang mencukupi.

 Saya mula mencuri semasa saya masih kecil. Saya fikir saya sedang membantu keluarga saya. Kemudian saya ditangkap oleh polis. Jadi pada tahun 1988, semasa saya berumur 14 tahun, bapa menghantar saya ke sekolah pemulihan akhlak. Saya berada di sana selama dua tahun dan belajar menjadi pengimpal logam. Apabila saya keluar dari sekolah, saya mahu bekerja dengan jujur tetapi saya tidak dapat mencari pekerjaan. Kadar pengangguran di Albania sangat tinggi kerana situasi politik yang tidak stabil. Saya kecewa, jadi saya mencari kawan-kawan yang lama dan mula mencuri sekali lagi. Kemudian saya dan kawan-kawan ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun.

 Selepas saya dibebaskan dari penjara, saya kembali melakukan kegiatan jenayah. Keadaan ekonomi Albania sangat teruk dan negara itu dalam keadaan huru-hara. Pada waktu itu, saya mengumpulkan banyak wang dengan melakukan aktiviti haram. Semasa melakukan rompakan bersenjata, dua orang rakan saya ditangkap. Saya melarikan diri ke negara lain supaya tidak dipenjarakan untuk waktu yang lama. Saya membawa isteri saya Julinda dan bayi lelaki kami bersama.

 Akhirnya, kami menetap di England. Saya mahu mulakan lembaran hidup yang baharu dengan isteri dan anak saya. Tetapi tabiat lama muncul semula. Saya kembali melakukan aktiviti jenayah. Kali ini saya menjadi pengedar dadah yang berurusan dengan jumlah wang yang besar.

 Apakah perasaan Julinda apabila saya menjadi pengedar dadah? Julinda menjelaskan, “Apabila saya membesar di Albania, saya mahu dibebaskan daripada belenggu kemiskinan. Jadi saya rela melakukan apa sahaja untuk mendapatkan hidup yang lebih selesa. Saya berfikir wang dapat menyelesaikan masalah saya. Jadi saya menyokong Artan apabila dia menipu, mencuri, dan mengedarkan dadah. Saya menyokong apa-apa sahaja yang dia buat untuk mendapatkan wang.”

“Saya menyokong Artan apabila dia menipu, mencuri, dan mengedarkan dadah.”—Julinda

 Pada tahun 2002, kehidupan kami berubah. Rancangan kewangan dan impian kami berkecai. Saya ditangkap semasa membawa kuantiti dadah yang banyak dan dipenjarakan sekali lagi.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA

 Kebenaran Bible mula mengubah hidup saya, bahkan sebelum saya sedar akan hal itu. Pada awal tahun 2000, Julinda telah bertemu dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan mula belajar Bible dengan mereka. Saya fikir pembelajaran Bible membosankan, tetapi Julinda menyukainya. Dia menerangkan, “Saya dibesarkan dalam keluarga yang kuat beragama dan saya sangat menghormati Bible. Saya selalu ingin tahu apa ajaran Bible. Jadi saya teruja untuk belajar Bible bersama Saksi-Saksi Yehuwa. Kebanyakan ajaran Bible masuk akal bagi saya. Apa yang saya belajar membantu saya membuat perubahan dalam hidup. Tetapi saya masih mengutamakan wang. Pandangan saya berubah apabila Artan ditangkap. Pada masa itu, saya sedar bahawa apa yang diajarkan Bible tentang wang adalah benar. Kami telah mengejar wang dan hal itu tidak membuat kami gembira. Jadi saya sedar saya harus menerapkan semua prinsip Bible.”

 Pada tahun 2004, saya dibebaskan dari penjara dan saya cuba kembali mengedarkan dadah. Tetapi pandangan Julinda telah berubah dan kata-katanya telah menyentuh hati saya. Dia berkata, “Saya tidak mahu wang kamu lagi. Saya mahu hubungan yang baik dengan suami, dan saya mahu anak-anak kami mempunyai hubungan yang baik dengan bapa mereka.” Saya terkejut, tetapi apa yang dikatakannya memang benar. Selama bertahun-tahun saya berjauhan dengan keluarga. Saya juga terfikir tentang penderitaan yang saya alami kerana berusaha mendapatkan wang dengan tidak jujur. Jadi saya membuat keputusan untuk mengubah hidup saya dan memutuskan hubungan dengan kawan-kawan lama.

 Titik perubahan terbesar dalam hidup saya adalah apabila saya menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa bersama isteri dan dua orang anak lelaki saya. Saya kagum dengan orang yang saya jumpa di situ. Mereka sangat ramah dan ikhlas. Akhirnya saya mula mempelajari Bible.

Dahulu saya fikir kekayaan akan membawa kebahagiaan

 Saya belajar daripada Bible bahawa “sikap cinta akan wang ialah akar kepada segala macam kejahatan. Sesetengah orang telah . . . menikam diri dengan banyak kesakitan kerana mereka dikuasai sikap cinta akan wang.” (1 Timotius 6:9, 10) Hidup saya telah membuktikan betapa benarnya ayat Bible ini! Saya amat menyesali kesilapan saya kerana saya telah menyakiti keluarga saya dan diri sendiri. (Galatia 6:7) Apabila saya belajar tentang bagaimana Yehuwa dan Anak-Nya Yesus Kristus mengasihi kami, saya mula mengubah keperibadian saya. Saya tidak lagi begitu bertumpu kepada diri sendiri. Sebaliknya saya bertumpu kepada keperluan orang lain dan saya mula meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga saya.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA

 Ayat Bible ini telah membantu saya: “Hendaklah cara hidup kamu bebas daripada cinta akan wang. Sebaliknya hendaklah kamu berpuas hati dengan apa yang kamu miliki.” (Ibrani 13:5) Sekarang saya menikmati ketenangan minda dan hati nurani yang murni. Hal ini membuat saya begitu bersukacita. Perkahwinan saya lebih kukuh dan ikatan keluarga saya lebih erat.

 Dahulu saya fikir kekayaan akan membawa kebahagiaan. Tetapi sekarang saya sedar bahawa jenayah dan cinta akan wang telah membawa banyak kesakitan. Kami tidak kaya tetapi saya rasa kami telah menemui sesuatu yang jauh lebih penting dalam hidup kami, iaitu persahabatan dengan Tuhan Yehuwa. Kami sekeluarga menikmati kebahagiaan sejati kerana dapat menyembah-Nya bersama-sama.

Bersama keluarga saya di konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa