Lompat ke kandungan

Mengapa Belajar Bahasa Benggali?

Mengapa Belajar Bahasa Benggali?

Baru-baru ini, 23 orang Saksi-Saksi Yehuwa di Queens, New York, telah menyertai kelas bahasa untuk belajar cara membaca dan bertutur dalam bahasa Benggali. Bahasa ini digunakan di Bangladesh dan beberapa kawasan di India. Kelas bahasa ini diajar oleh Saksi-Saksi Yehuwa dan direka supaya para pelajar dapat menguasai bahasa baharu dengan cepat.

Kelas bahasa Benggali ini merupakan salah satu daripada banyak kelas bahasa yang diadakan di Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Mereka yang menyertai kelas-kelas ini bermatlamat untuk mengongsi mesej Bible dengan orang yang bertutur dalam bahasa yang lain.

Magaly, seorang pelajar dalam kelas bahasa Benggali, menjelaskan, “Komuniti yang berbahasa Benggali sedang berkembang pesat di kawasan kami. Ramai orang mencari jawapan kepada soalan penting seperti, Mengapakah ada banyak penderitaan? Apabila saya memberitahu mereka tentang janji Tuhan yang menakjubkan pada masa depan, mereka ingin tahu dengan lebih lanjut. Namun perbezaan bahasa selalunya menjadi halangan bagi kami.”

Untuk membantu pelajar menguasai bahasa baharu dengan secepat mungkin, para pengajar menggunakan cara mengajar yang tidak membosankan. Salah satu cara adalah dengan menggunakan pergerakan fizikal untuk meningkatkan daya ingatan pelajar.

Selepas setiap sesi kelas, para pelajar dapat melatih kemahiran bahasa mereka dengan serta-merta. Mereka mengunjungi orang yang berbahasa Benggali dan membincangkan topik Bible bersama mereka. Magaly berkata, “Orang selalu teruja dan ingin tahu mengapa saya belajar bahasa Benggali. Oleh kerana saya mencurahkan usaha untuk belajar bahasa mereka, mereka dapat lihat betapa pentingnya mesej kita.”

Saksi-Saksi Yehuwa bukan sahaja belajar bahasa asing, tetapi juga menerima latihan untuk menjadi pengajar kelas bahasa. Dalam tempoh Januari 2006 hingga Januari 2012, sebanyak 2,244 orang pengajar telah dilatih melalui 38 seminar yang diadakan di kawasan pejabat cawangan Amerika Syarikat. Setakat 1 September 2012, Saksi-Saksi Yehuwa telah mengadakan lebih daripada 1,500 kelas yang mengajar 37 bahasa di kawasan pejabat cawangan Amerika Syarikat.