Lompat ke kandungan

Kempen Sedunia untuk Memperkenalkan JW.ORG

Kempen Sedunia untuk Memperkenalkan JW.ORG

Sepanjang bulan Ogos 2014, Saksi-Saksi Yehuwa di seluas dunia telah mengedarkan satu risalah untuk memperkenalkan laman web jw.org kepada orang ramai. Hasilnya, pada bulan itu, jumlah kunjungan ke laman web itu hampir mencecah 65 juta, iaitu pertambahan sebanyak lebih daripada 20 peratus. Di seluas dunia, hampir 10,000 orang memohon pembelajaran Bible secara percuma menerusi laman web itu, iaitu pertambahan sebanyak 67 peratus berbanding bulan sebelumnya! Sememangnya kempen ini telah membantu orang di seluruh dunia.

Membantu orang mencari jawapan bagi soalan penting dalam hidup

Di Kanada, seorang Saksi-Saksi Yehuwa bertembung dengan Madeline semasa menaiki lif. Saksi itu menunjukkan risalah Di Manakah Jawapan bagi Soalan Penting dalam Hidup? kepada Madeline. Madeline berkata bahawa pada malam sebelumnya, dia berdiri di balkoninya dan berdoa meminta Tuhan untuk membantunya mencari jawapan bagi soalan-soalan penting dalam hidup. Dia pernah menelefon beberapa gereja dan meminta mereka mengajarnya Bible, tetapi tiada orang membalas panggilannya. Sekarang dia dapat belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa.

Membantu orang yang tidak pernah membaca Bible

Di Filipina, Rowena bercakap dengan seorang lelaki Cina yang sedang berdiri di depan restoran. Dia memberi lelaki itu sekeping risalah dan menjelaskan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa menawarkan pembelajaran Bible yang percuma.

Lelaki itu berkata bahawa dia tidak pernah membaca Bible. Selepas perbualannya dengan Rowena, dia tergerak untuk menghadiri sebuah perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa. Selepas itu, dia mengatakan bahawa dia ingin mengetahui lebih banyak tentang Bible dan bercadang untuk memuat turun Bible daripada laman web jw.org.

Membantu orang pekak

Di Sepanyol, Guillermo, seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang pekak, berjumpa dengan Jorge, bekas rakan sekolahnya yang juga pekak. Jorge berkata bahawa ibunya baru meninggal dan dia mempunyai banyak soalan tentang kehidupan. Guillermo memberinya sekeping risalah yang menjelaskan bagaimana dia dapat melayari jw.org untuk mencari jawapan bagi soalan-soalan itu dalam bahasa isyarat. Guillermo juga menjemput Jorge untuk menghadiri perjumpaan di Dewan Perjumpaan. Jorge datang, dan sejak itu, dia tidak pernah terlepas satu perjumpaan pun meskipun dia tinggal sejauh 60 kilometer dari dewan.

Membantu orang yang tinggal di kawasan terpencil

Di Greenland, dua pasangan Saksi-Saksi Yehuwa telah membelanjakan banyak wang agar mereka dapat mengunjungi sebuah penempatan dengan menggunakan sebuah bot kecil. Penempatan itu hanya mempunyai 280 orang penduduk. Setibanya di situ, mereka menginjil, mengedarkan risalah, dan menunjukkan sebuah video jw.org dalam bahasa Greenland. Mereka juga memulakan satu pembelajaran Bible dengan sepasang suami isteri yang baru ditemui mereka. Kini pasangan itu belajar dua kali seminggu melalui telefon.

Tetapi usaha sedemikian tidak terhad kepada kawasan Greenland. Saksi-Saksi Yehuwa di Nicaragua telah membuat aturan untuk mengedarkan risalah itu kepada orang berbahasa Mayangna yang tinggal di dalam hutan Caribbean. Untuk sampai ke penempatan orang Mayangna, mereka perlu menaiki bas yang buruk dan melalui jalan yang berlubang-lubang selama 20 jam, dan kemudian berjalan selama 11 jam. Kadangkala mereka perlu meredah jalan berlumpur yang sangat dalam. Setibanya di situ, mereka mengedarkan risalah dan menunjukkan video dalam bahasa Mayangna. Penduduk di situ amat gembira kerana dapat membaca risalah dan menonton video dalam bahasa mereka.

Di sebuah pekan kecil di kawasan hutan hujan Brazil, Estela memberikan sekeping risalah kepada seorang lelaki yang singgah di situ. Meskipun lelaki itu tidak begitu berminat, dia menerima risalah itu dan memasukkannya ke dalam saku. Semasa dalam perjalanan pulang, enjin bot yang dinaiki lelaki itu rosak, dan dia terkandas di sungai. Sementara menunggu bantuan untuk tiba, dia membaca risalah itu. Dia juga menggunakan telefon bimbitnya untuk melayari jw.org untuk membaca beberapa buah rencana dan memuat turun video-video. Selepas beberapa hari, dia berjumpa dengan suami Estela dan meminta dia untuk mengucapkan terima kasih kepada Estela. Dia berkata, “Sewaktu saya terkandas di sungai, rencana-rencana dalam laman web itu membantu saya untuk menunggu dengan tenang. Anak-anak saya juga sangat menyukai video-video Johan. Saya akan terus melayari jw.org.”