Lompat ke kandungan

Rumah Terbuka di “Batu”

Rumah Terbuka di “Batu”

Saksi-Saksi Yehuwa mempunyai 15 buah pejabat cawangan di serata dunia yang menjalankan kerja pencetakan. Salah satunya ialah pejabat cawangan Eropah Tengah di Selters, Jerman. Pejabat itu terletak di dalam sebuah kawasan yang dipanggil Steinfels, yang bererti “Batu” dalam bahasa Jerman.

Pada 23-25 Mei 2014, pejabat cawangan Eropah Tengah menjemput penduduk tempatan, ahli perniagaan, dan pegawai-pegawai kerajaan untuk menghadiri sebuah acara rumah terbuka. Acara itu bertema “30 Tahun di Selters” kerana pejabat cawangan itu dibuka secara rasmi pada 21 April 1984.

Semasa acara rumah terbuka itu, lebih daripada 3,000 orang telah melawat pejabat cawangan itu. “Bagi saya, melawat pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa ialah acara yang istimewa,” kata datuk bandar, yang telah bekerja dalam jabatan kerajaan selama hampir 30 tahun. Dia berkata, “Saya masih kagum kerana pembinaan pejabat cawangan di Steinfels dari tahun 1979 hingga 1984 berlaku dengan begitu cepat.”

Hal-Hal Menarik semasa Rumah Terbuka

Terdapat sebuah pameran yang bertajuk “Umat Yehuwa di Eropah Tengah.” Para pelawat dapat mengetahui sejarah Saksi-Saksi Yehuwa di kawasan ini yang menjangkau kira-kira 120 tahun. Kini pameran itu dibuka secara tetap di pejabat cawangan.

Satu lagi pameran memaparkan beberapa Bible yang kuno dan jarang dijumpai. Contohnya, terdapat sebuah Bible edisi awal yang lengkap dalam bahasa Jerman yang diterbitkan pada tahun 1534, dan sebahagian daripada Bible yang diterbitkan oleh Elias Hutter pada tahun 1599, yang teksnya ada dalam 12 bahasa. Selain itu, terdapat juga banyak paparan, carta, dan video yang menonjolkan nilai praktikal prinsip Bible.

Terdapat lebih daripada 1,000 orang sukarelawan yang bekerja dan tinggal di pejabat cawangan ini. Para pelawat dapat melihat dua pameran yang membantu mereka memahami kehidupan para sukarelawan yang tinggal di sini. Dalam pameran pertama, yang bertajuk “Kehidupan Kami,” para pelawat dapat melihat bilik beberapa pekerja, menjamu selera di dewan makan, dan berjalan-jalan di dalam taman yang terletak dalam kawasan pejabat cawangan ini. Setelah lawatannya, salah seorang pelawat berkata, “Kawasan ini cantik sekali.”

Dalam pameran kedua, yang bertajuk “Penerbitan,” para pelawat dapat melihat Bahagian Percetakan, Penjilidan, dan Penghantaran. Mereka dapat menyaksikan sendiri bagaimana bahan bacaan Bible dicetak, dijilid, dan kemudiannya dihantar ke lebih daripada 50 buah negara. Salah seorang pelawat berkata, “Saya tidak sangka bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah organisasi antarabangsa. Bahan bacaan mereka boleh didapati di setiap penjuru bumi. Yang lebih menakjubkan, mereka melakukan semua ini dengan bantuan pekerja sukarela. Ini memang suatu mukjizat!”

Para pelawat melayari jw.org

Selain itu, beberapa buah komputer disediakan agar para pelawat dapat melayari jw.org, iaitu laman web rasmi Saksi-Saksi Yehuwa. Semua pengunjung, baik yang tua mahupun yang muda, telah menonton banyak video. Mereka mendapat penjelasan tentang apa yang terdapat dalam laman web itu, dan banyak soalan mereka dijawab.

Banyak pelawat berasa gembira setelah melawat pejabat cawangan itu. Mereka amat kagum dengan kerja yang dilakukan oleh Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia. Salah seorang lelaki berkata, “Selama ini, saya mempunyai banyak pandangan yang salah tentang Saksi-Saksi Yehuwa. Sekarang saya perlu mengubah pandangan saya.” Seorang wanita berkata, “Lawatan ini telah menghilangkan rasa prasangka orang ramai.”

a Jumlah setakat tahun 2014

b Jumlah setakat tahun 2014

c Jumlah setakat tahun 2014