Lompat ke kandungan

Melawan Kebakaran dengan Cekap

Melawan Kebakaran dengan Cekap

“Api! Api!” teriak Sandra. Semasa bersarapan di rumah mentuanya, dia nampak api keluar dari bawah pintu sebuah pondok di sebelah rumah mereka. Dia dan suaminya Thomas segera bertindak. Sandra mendapatkan pemadam api, manakala Thomas bergegas menyiasat kebakaran itu. Sandra segera memberikan pemadam api itu kepada Thomas, dan dia berjaya memadamkan kebakaran tersebut. Sandra berkata, “Jika kami tidak buat apa-apa, seluruh pondok itu mungkin sudah hangus.”

Mengapakah Thomas dan Sandra dapat bertindak dengan begitu cepat dan tenang? Mereka dan kira-kira 1,000 orang pekerja lain di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Selters, Jerman, telah menerima latihan tentang tindakan yang perlu diambil semasa kebakaran.

Pejabat cawangan di Selters meliputi kawasan seluas 30 hektar. Kawasan itu mempunyai pejabat dan kediaman. Selain itu, kawasan tersebut merangkumi tempat dobi, kilang cetak, dan bengkel—kawasan yang terdedah kepada risiko kebakaran. Maka Bahagian Persekitaran dan Keselamatan di pejabat cawangan telah mengadakan sebuah program keselamatan kebakaran. Pertama, kumpulan yang dikenali sebagai Pasukan Tindakan Kecemasan akan bekerjasama dengan jabatan bomba tempatan. Kedua, semua sukarelawan di pejabat cawangan akan melakukan hal berikut secara tetap:

  • Berlatih mengosongkan bangunan.

  • Mengikut latihan keselamatan kebakaran.

  • Belajar untuk memadamkan api semasa api masih kecil.

Dengan itu, para pekerja sukarela akan diajar kemahiran yang dapat digunakan pada waktu kecemasan.

Belajar Cara yang Selamat untuk Memadamkan Api

Semasa sesi latihan, para peserta belajar untuk memadamkan api dengan selamat. Christin, yang belajar tentang keselamatan kebakaran buat kali terakhir di sekolah rendah, menggambarkan latihan kebakaran di pejabat cawangan, “Saya ambil pemadam api, mencabut kunci pin, dan menyembur mengikut arah angin. Jika tidak, nyala api itu akan terkena muka saya. Saya berjaya memadamkan api itu seorang diri! Saya juga belajar memadamkan api bersama empat atau lima orang ahli pasukan.”

Sesi latihan “mengurangkan rasa takut terhadap api,” kata Daniel, yang bekerja di pejabat cawangan sebagai jurulatih keselamatan kebakaran. Dia menjelaskan, “Semasa kebakaran, orang biasanya akan tergamam. Dengan cemas mereka akan fikir, ‘Apa kita patut buat? Macam mana mahu guna alat pemadam api?’ Tetapi jika mereka tahu apa yang harus dilakukan, amat mudah bagi mereka untuk mencegah kebakaran kecil daripada menjadi kebakaran besar.” Semasa latihan, “para peserta belajar cara yang betul untuk memegang pemadam api dan memadamkan api. Mereka menjadi lebih yakin dan berani untuk bertindak semasa kebakaran,” katanya.

Latihan Membawa Hasil Baik

Ramai yang menghargai latihan itu. Christin, yang disebut tadi, berkata, “Itulah kali pertama saya pegang pemadam api. Saya rasa semua orang harus mendapat latihan sebegini.” Nadja, seorang pekerja di lapangan terbang yang membantu separuh masa di pejabat cawangan, berkata, “Selama 10 tahun yang lalu, saya hanya mengikuti latihan teori di lapangan terbang. Tetapi latihan praktikal di pejabat cawangan bantu saya lebih yakin. Jika kebakaran berlaku, saya tahu apa yang harus dilakukan.”

Sandra percaya bahawa latihan di pejabat cawangan telah membantunya bertindak dengan segera semasa di rumah mentuanya. “Saya tidak begitu takut lagi untuk menggunakan pemadam api,” katanya. “Latihan tahunan ini bagus dan telah membantu saya.”

Berlatih Bersama Jabatan Bomba Tempatan

Jabatan bomba tempatan mengadakan sesi latihan secara tetap di kawasan pejabat cawangan. Theo Neckermann, ketua ahli bomba, menjelaskan, “Jabatan bomba kami menjaga wilayah Selters, sebuah kawasan yang terpencil. Kami biasanya mengurus kebakaran di rumah atau apartmen. Bangunan pejabat cawangan agak unik di sini, sebab kawasannya luas, bangunannya besar, dan kerja-kerja kilang yang dijalankan. Kami perlu belajar kemahiran tambahan untuk menangani kecemasan di bangunan ini. Jadi kami gembira dan berterima kasih kerana dapat berlatih di sini.”

Lebih daripada 100 orang ahli Pasukan Tindakan Kecemasan pejabat cawangan juga berlatih menjalankan operasi penyelamatan dan latihan kebakaran bersama jabatan bomba. En. Neckermann berkata, “Kami kagum dengan Pasukan Tindakan Kecemasan kamu. Tanpa bantuan dan arahan mereka, latihan kebakaran dan operasi kecemasan tidak akan berjalan dengan begitu lancar.”

Menunjukkan bahayanya jika minyak yang terbakar disiram dengan air

Jabatan bomba dan Pasukan Tindakan Kecemasan telah menunjukkan “taring” mereka suatu petang pada Februari 2014. Salah sebuah apartmen dalam bangunan kediaman di pejabat cawangan tiba-tiba dipenuhi asap. Daniel berkata, “Asapnya begitu tebal sehingga kami tidak dapat nampak tangan sendiri. Kami segera memanggil bomba dan mengosongkan kesemua 88 buah apartmen. Semasa bomba tiba, kami sudah mengosongkan seluruh bangunan.” En. Neckermann berkata, “Saya tidak dapat membayangkan sebuah bangunan sebesar ini dapat dikosongkan dengan begitu cepat di sebuah bandar seperti Frankfurt. Orang kamu sangat berdisiplin, dan Pasukan Tindakan Kecemasan kamu sangat hebat!” Ahli bomba telah mengenal pasti punca kebakaran lalu menanganinya. Tiada orang yang tercedera, dan tiada kerosakan yang serius terjadi.

Semua orang di pejabat cawangan di Selters berharap agar kebakaran yang serius tidak akan berlaku. Tetapi seandainya kebakaran terjadi, mereka sudah bersedia untuk melawan kebakaran dengan cekap.