Lompat ke kandungan

Membantu Orang Pekak di “Zamrud Khatulistiwa”

Membantu Orang Pekak di “Zamrud Khatulistiwa”

Jutaan orang pekak tinggal di Indonesia, yang juga dikenali sebagai Zamrud Khatulistiwa. Untuk membantu mereka, Saksi-Saksi Yehuwa telah menghasilkan pelbagai bahan bacaan dan program pendidikan yang berdasarkan Bible dalam Bahasa Isyarat Indonesia. Usaha baik mereka telah diperhatikan orang.

Konvensyen Bahasa Isyarat

Pada tahun 2016, di Medan, Sumatra Utara, Saksi-Saksi Yehuwa telah mengadakan sebuah konvensyen dalam Bahasa Isyarat Indonesia. Seorang pegawai penting di daerah itu telah menghadiri konvensyen itu. Dia memuji usaha para Saksi untuk menyediakan program pendidikan secara percuma. Dia begitu tergerak dengan apa yang dilihatnya sehingga dia mengikuti para hadirin semasa mereka menyanyikan lagu dalam bahasa isyarat.

Konvensyen itu “berlangsung dengan berjaya dan selamat,” kata pengurus tapak konvensyen itu. “Saya berharap agar para Saksi dapat terus mengadakan aktiviti-aktiviti yang baik ini untuk membantu orang pekak.” Dia juga mengatakan bahawa apabila pemilik tapak konvensyen itu sedar bahawa konvensyen itu diadakan untuk orang pekak, “dia mahu melakukan sesuatu yang baik untuk para Saksi. Maka dia menyuruh saya untuk menyediakan makanan tengah hari bagi [kesemua 300 orang] yang hadir.”

Penghargaan untuk Video-Video Bahasa Isyarat

Saksi-Saksi Yehuwa juga mengunjungi orang pekak untuk berkongsi mesej Bible. Mereka selalu menggunakan video-video dalam Bahasa Isyarat Indonesia, yang dapat membantu orang untuk menikmati kehidupan yang produktif dan memuaskan.

“Usaha kamu untuk menjaga orang pekak dan memenuhi keperluan mereka memang patut dipuji,” kata Mahendra Teguh Priswanto, timbalan pengarah daerah Persatuan Indonesia untuk Kebajikan Orang Pekak di Kota Semarang, Jawa Tengah. “Contohnya, video Keluarga Anda Boleh Bahagia amat bermanfaat. Kami menghargai usaha kamu dan berharap bahawa kamu akan meneruskan kerja ini.”

Mereka “Menunjukkan Kasih”

Yanti, seorang wanita pekak, amat tersentuh dengan usaha para Saksi. Dia menjelaskan, “Biasanya orang pekak diejek, tetapi Saksi-Saksi Yehuwa menunjukkan kasih. Banyak Saksi yang dapat mendengar telah mempelajari bahasa isyarat agar mereka dapat membantu orang pekak untuk mengenali Pencipta dan mempunyai kehidupan yang lebih bermakna. Saya tersentuh dengan keikhlasan mereka.”

Yanti telah menjadi seorang Saksi-Saksi Yehuwa, dan kini dia ialah salah seorang penterjemah yang membantu menghasilkan video dalam Bahasa Isyarat Indonesia. Dia berkata, “Bahan-bahan yang kami hasilkan membantu orang yang kurang fasih dalam bahasa isyarat agar mereka dapat meningkatkan kemahiran mereka. Bahan-bahan itu juga mengajar orang cara hidup yang bahagia dan bermakna.”