Lompat ke kandungan

Membantu Para Pelajar di Thailand untuk Berjaya

Membantu Para Pelajar di Thailand untuk Berjaya

Bermula dari Disember 2012, Saksi-Saksi Yehuwa di Thailand mengadakan sebuah kempen istimewa untuk membantu para pelajar. Dua puluh orang Saksi-Saksi Yehuwa telah melawat sekolah-sekolah di Bangkok untuk berjumpa dengan penyelia setiap sekolah. Mereka ingin mengedarkan majalah Sedarlah! terbitan Oktober 2012 yang mengandungi satu siri rencana yang bertajuk “Cara untuk Berjaya di Sekolah” kepada para pelajar dan guru.

Kempen ini mendapat sambutan yang baik, maka Saksi-Saksi Yehuwa meluaskannya ke seluruh negara. Dalam masa satu tahun setengah yang berikutnya, mereka menghubungi 830 buah sekolah dan mendapati bahawa pelajar dan guru di situ amat menyukai majalah ini sehingga majalah ini perlu dicetak semula sebanyak tiga kali untuk memenuhi semua permintaan. Pada mulanya, majalah ini hanya dicetak kira-kira 30,000 naskhah. Tetapi topik ini begitu popular sehingga lebih daripada 650,000 naskhah majalah ini telah diedarkan!

Para pentadbir sekolah dan guru amat menghargai majalah ini. Seorang guru berkata, “Majalah ini akan membantu pelajar kita memupuk hubungan yang rapat dengan keluarga mereka dan menetapkan matlamat di sekolah.” Sebilangan sekolah memuatkan majalah ini ke dalam kokurikulum kelas mereka. Yang lain pula menggunakan majalah ini semasa latihan membaca di kelas. Ada juga sebuah sekolah yang meminta pelajar mereka menulis laporan berdasarkan maklumat dalam majalah ini, dan laporan yang baik akan mendapat hadiah.

Seorang pelajar perempuan amat menyukai salah satu rencana dalam majalah ini yang bertajuk “Memerangi Obesiti dalam Kalangan Orang Muda.” Dia berkata bahawa obesiti ialah masalah yang sering dihadapi oleh remaja, tetapi kawan-kawannya berasa malu untuk bercakap tentangnya. Dia berkata, “Terima kasih kerana memberikan nasihat yang praktikal dan mudah difahami tentang topik ini.”

Banyak ibu bapa juga amat menyukai majalah ini. Seorang ibu mengucapkan terima kasih kepada Saksi-Saksi Yehuwa yang memberinya majalah ini. Dia berkata, “Majalah ini mempunyai nasihat yang praktikal yang dapat membantu anak perempuan saya untuk berjaya di sekolah.”

En. Pichai Petratyotin, jurucakap Saksi-Saksi Yehuwa di Thailand, berkata, Majalah Sedarlah! menonjolkan nasihat-nasihat Bible yang tidak luput ditelan zaman dan membantu orang untuk menerapkannya dewasa ini. Saksi-Saksi Yehuwa menghargai pendidikan, jadi kami gembira untuk mengedarkan majalah ini kepada semua orang tanpa bayaran.”