Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tujuh Langkah untuk Keselamatan Makanan dan Diet yang Sihat

Tujuh Langkah untuk Keselamatan Makanan dan Diet yang Sihat

 Mengapa penting untuk menjaga apa yang anda makan

 Salah satu hal yang menentukan kesihatan anda ialah makanan anda. Jika anda menjaga keselamatan makanan dan diet yang sihat, anda dapat menjadi lebih sihat. Sebaliknya, jika anda tidak berbuat demikian, hal ini dapat menyebabkan masalah kesihatan yang serius, sepertimana minyak kereta yang tidak berkualiti dapat menyebabkan masalah kereta. Masalah mungkin tidak segera muncul, tetapi lambat laun pasti akan timbul.—Galatia 6:7.

 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa “setiap negara di serata dunia menghadapi masalah pemakanan yang tidak seimbang.” Hal ini bukan sahaja merangkumi masalah kurang khasiat, tetapi juga masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Jika anda sering mengambil makanan atau minuman yang tidak sihat, anda lebih mudah terdedah kepada penyakit jantung, strok, diabetes, dan kanser. Menurut kajian, sekurang-kurangnya terdapat 11 juta kematian yang berlaku pada tahun baru-baru ini disebabkan masalah pemakanan yang tidak seimbang. WHO menjangkakan bahawa lebih daripada seribu orang mati setiap hari dan ratusan juta orang mengalami masalah kesihatan akibat makanan yang tercemar.

 Bible menggalakkan kita untuk tidak meremehkan masalah yang serius ini. Bible mengajar bahawa Tuhan ialah “sumber segala kehidupan.” (Mazmur 36:9) Kehidupan ialah suatu kurniaan. Kita menunjukkan bahawa kita menghargai kehidupan dengan menjaga kesihatan kita dan keluarga kita. Perhatikan bagaimana anda dapat melakukannya.

 Empat langkah untuk keselamatan makanan

 1. Sediakan makanan dalam cara yang selamat.

 Mengapa? Makanan dan minuman yang tercemar mempunyai kuman a berbahaya yang dapat memasuki badan anda dan menyebabkan anda sakit.

 Cadangan pakar kesihatan:

  •   Sebelum anda menyediakan makanan, cuci tangan anda dengan sabun dan air. b Gosokkan tangan anda sekurang-kurangnya 20 saat. Gosok belakang tangan dan celah jari serta kuku anda. Bilas dan keringkan tangan anda dengan sepenuhnya.

  •   Gunakan sabun dan air untuk mencuci papan potong, pinggan mangkuk, dan alat masak lain yang akan menyentuh makanan. Selain itu, elakkan daripada menggunakan papan potong yang sama untuk makanan yang akan dimasak dan yang tidak perlu dimasak.

  •   Cuci semua buah-buahan dan sayur-sayuran. Pastikan anda membersihkannya dengan sebaik-baiknya terutamanya jika kebun-kebun di kawasan anda menggunakan air yang sudah tercemar.

 2. Asingkan makanan yang mentah dan makanan yang sudah masak.

 Mengapa? Kuman daripada makanan mentah, seperti daging mentah, akan mencemarkan makanan yang lain.

 Cadangan pakar kesihatan:

  •   Semasa membeli makanan di pasar dan menyimpannya di rumah, makanan yang mentah, terutamanya daging, harus diletakkan berasingan dengan makanan yang sudah masak.

  •   Selepas memotong daging yang mentah, pastikan anda mencuci tangan, pisau, dan papan potong dengan sebaik-baiknya sebelum memotong makanan lain.

 3. Pastikan makanan dimasak dengan sebaik-baiknya.

 Mengapa? Kuman yang berbahaya hanya akan mati jika makanan dimasak pada suhu yang cukup tinggi.

 Cadangan pakar kesihatan:

  •   Masak makanan sehingga benar-benar panas. Makanan, termasuk bahagian dalam daging, harus mencapai suhu 70 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya 30 saat.

  •   Pastikan sup atau makanan yang berkuah dimasak sehingga mendidih.

  •   Untuk makan makanan yang pernah dimasak, panaskannya sehingga benar-benar panas dan ada wap.

 4. Simpan makanan pada suhu yang selamat.

 Mengapa? Jika makanan diletakkan pada suhu antara 5 hingga 60 darjah Celsius untuk 20 minit sahaja, jumlah bakteria pada makanan dapat bertambah menjadi dua kali ganda. Selain itu, jika daging mentah tidak disimpan pada suhu yang selamat, sesetengah bakteria akan menghasilkan toksin yang tidak dapat dihapuskan biarpun sudah dimasak.

 Cadangan pakar kesihatan:

  •   Pastikan makanan disimpan pada suhu yang panas atau sejuk agar kuman tidak membiak.

  •   Jangan simpan makanan pada suhu bilik selama lebih daripada dua jam, atau lebih daripada satu jam jika suhu bilik mencecah 32 darjah Celsius dan ke atas.

  •   Selepas makanan dimasak, pastikan makanan tetap panas sebelum disajikan.

 Tiga langkah untuk diet yang sihat

 1. Makan pelbagai jenis buah dan sayur setiap hari.

 Buah dan sayur mengandungi banyak vitamin, mineral, dan zat-zat lain yang diperlukan agar tubuh tetap sihat. Menurut WHO, tubuh anda memerlukan sekurang-kurangnya 400 gram buah dan sayur setiap hari. Hal ini tidak termasuk makanan yang berkanji seperti ubi kentang atau ubi kayu.

 2. Jumlah pengambilan minyak dan lemak haruslah sederhana.

 WHO mencadangkan agar anda mengurangkan pengambilan makanan yang bergoreng dan yang diproseskan atau makanan yang mengandungi lemak yang tidak sihat. Jika dapat, gunakan minyak sayuran yang mempunyai kandungan lemak tak tepu. c Minyak sebegini adalah lebih baik berbanding minyak yang mengandungi lemak tepu.

 3. Kawal pengambilan garam dan gula.

 WHO mencadangkan agar orang dewasa memakan garam kurang daripada satu sudu teh setiap hari. WHO juga mencadangkan bahawa jumlah pengambilan gula yang ditambahkan ke dalam makanan tidak boleh melebihi daripada 60 mililiter (12 sudu teh) setiap hari. d Gula merupakan bahan utama dalam kebanyakan makanan dan minuman yang diproseskan. Misalnya, minuman ringan sebanyak 355 mililiter mengandungi gula sehingga 50 mililiter (10 sudu teh). Minuman ringan mengandungi banyak kalori, tetapi kurang manfaat atau langsung tiada kebaikan untuk kesihatan.

 Bible berkata, “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang yang kurang pengalaman terus berjalan lalu menanggung derita.” (Amsal 22:3) Jika anda bijak dalam memilih makanan dan membuat perubahan yang diperlukan, anda menunjukkan kepada Tuhan bahawa anda menghargai nyawa dan kesihatan anda.

 Tanggapan yang salah

 Tanggapan yang salah: Makanan selamat untuk dimakan selagi kelihatan baik, tidak basi, dan rasanya masih normal.

 Kebenaran: Lebih daripada 10 bilion bakteria diperlukan untuk menyebabkan satu liter air menjadi keruh, tetapi dengan hanya 15 hingga 20 bakteria yang berbahaya, anda boleh jatuh sakit. Untuk memastikan bahawa makanan dan minuman anda selamat, sediakan, hidangkan, dan simpankannya pada suhu dan masa yang dicadangkan.

 Tanggapan yang salah: Makanan yang dihinggap lalat tidak berbahaya.

 Kebenaran: Lalat makan makanan yang kotor dan membiak di tempat yang kotor, seperti di atas najis. Jadi lalat sering membawa jutaan kuman yang menyebabkan penyakit. Tutup makanan dengan sepenuhnya agar tidak dicemari oleh lalat.

 Tanggapan yang salah: “Sudah lama saya makan makanan yang tidak sihat. Jadi kalau saya ubah tabiat makan saya, hal itu tidak mempengaruhi saya.”

 Kebenaran: Menurut para penyelidik, mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat sekarang dapat mengurangkan risiko kematian. Anda akan mendapat lebih banyak manfaat seraya anda terus mengekalkan diet yang sihat.

a Kuman, atau mikroorganisma, ialah hidupan yang sangat kecil sehingga anda tidak boleh melihatnya dengan mata kasar. Misalnya, bakteria, virus, dan parasit. Sesetengah mikroorganisma membawa manfaat, tetapi ada juga yang membahayakan kesihatan dan bahkan membawa maut.

b Menggunakan sabun dan air lebih berkesan membasmi kuman berbanding menggunakan air sahaja.

c Lemak tak tepu berbentuk cecair pada suhu bilik, bukannya pepejal.

d Gula yang ditambahkan merangkumi gula asli dan yang diproseskan, misalnya gula putih, madu, sirap, dan jus buah. Ungkapan ini tidak merujuk kepada gula semula jadi yang ada dalam buah-buahan, sayur-sayuran, dan susu yang segar.