Lompat ke kandungan

Panduan untuk Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita

Panduan untuk Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita

Kandungan

1. Garis panduan dalam dokumen ini akan membantu mereka yang mempunyai bahagian dalam Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita. Sebelum membuat persiapan, mereka haruslah meneliti arahan bagi bahagian mereka seperti yang dinyatakan dalam Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian dan dokumen ini. Semua penyiar harus dijemput untuk menyampaikan tugasan pelajar. Mereka yang bergaul dengan sidang secara tetap, bersetuju dengan ajaran Bible, dan hidup selaras dengan prinsipnya, juga layak untuk menyampaikan tugasan. Jika seseorang yang belum menjadi penyiar ingin mengambil bahagian dalam tugasan pelajar, penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian harus membincangkan syarat kelayakan dengannya, dan kemudian, memaklumkannya sama ada dia memenuhi syarat sebagai pelajar atau tidak. Perbincangan ini harus dibuat bersama guru Biblenya (atau ibu atau bapa yang merupakan Saksi). Syarat-syarat untuk menyampaikan tugasan pelajar adalah sama dengan syarat untuk menjadi penyiar yang belum dibaptis.—od bab 8 per. 8.

 KATA-KATA PEMBUKA

2. Satu minit. Setiap minggu, selepas lagu dan doa pembukaan, pengerusi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian akan membangkitkan minat hadirin untuk bahagian-bahagian perjumpaan. Pengerusi harus bertumpu kepada isi-isi yang paling bermanfaat bagi sidang.

  HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN

 3Ceramah: Sepuluh minit. Tema dan sebuah rangka yang terdiri daripada dua atau tiga isi utama telah disediakan dalam Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian. Ceramah ini patut ditugaskan kepada seorang penatua atau pembantu sidang yang layak. Semasa buku Bible baharu dijadualkan untuk pembacaan Bible mingguan, sebuah video yang memperkenalkan buku itu akan ditayangkan. Penceramah boleh mengaitkan isi video dengan tema ceramah. Namun, dia harus meliputi isi-isi dalam lembaran kerja. Jika masa mengizinkan, dia juga harus menggunakan gambar yang disediakan. Dia juga boleh menyertakan maklumat tambahan yang sesuai dengan ceramah tersebut.

 4Permata Rohani: Sepuluh minit. Bahagian soal jawab ini akan dikendalikan oleh seorang penatua atau pembantu sidang yang layak. Kata-kata pengenalan dan penutupan tidak diperlukan. Namun, kedua-dua soalan harus ditanya. Saudara yang mengendalikan bahagian ini boleh menentukan sama ada ayat Bible yang tertera perlu dibaca atau tidak. Komen yang diberikan hadirin tidak harus melebihi 30 saat.

 5Pembacaan Bible: Empat minit. Tugasan ini akan dikendalikan oleh seorang pelajar lelaki. Pelajar harus membaca petikan yang ditugaskan tanpa memberikan kata-kata pengenalan atau penutupan. Pengerusi perjumpaan akan berusaha membantu pelajar untuk membaca dalam cara yang berikut: Tepat, lancar, gaya yang bersahaja, berhenti di tempat yang sesuai, menggunakan penekanan dan alunan suara yang sesuai, dan memahami serta menyampaikan isi pembacaan dengan tepat. Memandangkan ada tugasan pembacaan Bible yang lebih pendek dan ada yang lebih panjang, penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian harus mengambil kira kebolehan pelajar-pelajar semasa mengagihkan tugasan ini.

 JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

6. Lima belas minit. Bahagian perjumpaan ini bertujuan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran untuk mengadakan perbualan, menginjil, dan mengajar. Jika perlu, tugasan-tugasan boleh diberikan kepada penatua. Setiap pelajar harus mengusahakan nombor pelajaran daripada brosur Mengajar atau brosur Kasihi Orang. Nombor pelajaran itu akan dinyatakan dalam kurungan bagi tugasannya pada Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian. Kadangkala, terdapat bahagian perbincangan yang dijadualkan. Perbincangan ini harus dikendalikan oleh seorang penatua atau pembantu sidang yang layak.—Lihat  perenggan 15 untuk cara mengendalikan bahagian perbincangan.

 7Mulakan Perbualan: Tugasan ini boleh diberikan kepada seorang pelajar lelaki atau wanita. Pembantunya haruslah merupakan ahli keluarganya atau seseorang yang sama jantina dengannya. Pelajar dan pembantunya boleh berdiri atau duduk.—Untuk maklumat lanjut mengenai isi kandungan dan latar untuk tugasan ini, lihat  perenggan 12 dan  13.

 8Buat Kunjungan: Tugasan ini boleh diberikan kepada seorang pelajar lelaki atau wanita. Pembantunya haruslah seseorang yang sama jantina dengannya. (km-IN 5/97 ms. 2) Pelajar dan pembantunya boleh berdiri atau duduk. Pelajar harus menunjukkan cara untuk meneruskan perbualan dengan seseorang yang telah menunjukkan minat semasa kunjungan pertama.—Untuk maklumat lanjut mengenai isi kandungan dan latar untuk tugasan ini, lihat  perenggan 12 dan  13.

 9Jadikan Murid: Tugasan ini boleh diberikan kepada seorang pelajar lelaki atau wanita. Pembantunya haruslah seseorang yang sama jantina dengannya. (km-IN 5/97 ms. 2) Pelajar dan pembantunya boleh berdiri atau duduk. Bahagian ini harus menunjukkan pembelajaran Bible yang sedang berlangsung. Kata-kata pengenalan atau penutupan tidak diperlukan, kecuali pelajar sedang mengusahakan nombor pelajaran yang berkenaan. Semasa menyampaikan tugasannya, pelajar dan pembantunya tidak wajib membacakan semua bahan yang ditugaskan.

 10Jelaskan Kepercayaan Anda: Jika bahagian ini merupakan ceramah, seorang pelajar lelaki harus ditugaskan untuk menyampaikannya. Jika bahagian ini merupakan demonstrasi, tugasan ini boleh dikendalikan oleh seorang pelajar lelaki atau wanita. Pembantunya haruslah merupakan ahli keluarganya atau seseorang yang sama jantina dengannya. Pelajar harus menjawab soalan yang diajukan dalam tema dengan memberikan jawapan yang jelas dan sopan. Dia harus menggunakan maklumat daripada bahan rujukan yang dinyatakan. Pelajar boleh menentukan sama ada dia ingin menyebut tentang sumber rujukan itu dalam tugasannya atau tidak.

 11Ceramah: Tugasan ini harus dikendalikan oleh seorang pelajar lelaki dan disampaikan dalam bentuk ceramah kepada sidang. Jika ceramah adalah berdasarkan lampiran A dalam brosur Kasihi Orang, pelajar harus menonjolkan cara ayat (atau ayat-ayat Bible itu) boleh digunakan dalam kerja penyebaran. Contohnya, dia boleh menjelaskan bila masa yang sesuai untuk menggunakan ayat Bible itu, maksud ayat itu, dan cara menjelaskannya secara logik kepada seseorang. Jika ceramah itu adalah berdasarkan satu poin daripada pelajaran dalam brosur Kasihi Orang, dia harus bertumpu kepada cara untuk menerapkan poin itu semasa melakukan kerja penyebaran. Dia boleh menyebut tentang contoh yang ditonjolkan dalam poin 1 pelajaran itu atau mana-mana ayat Bible lain dalam pelajaran itu jika sesuai.

   12Isi Kandungan: Maklumat dalam perenggan ini dan yang seterusnya adalah berkaitan dengan bahagian tugasan “Mulakan Perbualan” dan “Buat Kunjungan.” Kecuali apabila dinyatakan, matlamat pelajar adalah untuk mengongsi kebenaran Bible yang ringkas dan sesuai untuk pendengarnya serta membina asas untuk menyambung perbualan itu pada masa depan. Pilihlah topik yang sesuai dengan keadaan semasa dan kawasan tempatan. Pelajar boleh menentukan sama ada untuk memperkenalkan bahan terbitan atau video daripada Bahan Utama untuk Mengajar. Daripada menghafal skrip tugasan, pelajar harus berusaha mengasah kemahiran berbual, seperti menunjukkan keprihatinan dan minat terhadap pendengar serta gaya percakapan yang santai.

   13Latar: Pelajar harus menyesuaikan latar yang ditugaskan kepada cara yang sesuai dengan keadaan tempatan. Contohnya:

  1.  (1) Rumah ke Rumah: Latar ini merangkumi menginjil dari rumah ke rumah secara bersemuka, melalui telefon atau surat, serta menyambung perbualan dengan seseorang yang telah dikunjungi sebelum ini menerusi kerja menginjil rumah ke rumah.

  2.  (2) Kesaksian Tidak Formal: Latar ini merangkumi apa-apa kesempatan untuk memberikan kesaksian semasa berbual secara santai. Contohnya, anda boleh mengongsi nasihat atau ayat Bible dengan orang yang anda jumpa semasa melakukan aktiviti seharian, atau orang di tempat kerja, sekolah, kawasan perumahan, dan pengangkutan awam.

  3.  (3) Kesaksian di Tempat Awam: Latar ini merangkumi menginjil dengan menggunakan rak, atau menginjil di kawasan perniagaan, taman, tempat letak kereta, atau tempat awam yang lain.

 14Menggunakan Video dan Bahan Bacaan: Bergantung pada keadaan, pelajar boleh menentukan sama ada dia ingin memperkenalkan suatu video atau bahan bacaan. Jika terdapat arahan untuk menggunakan video tertentu, atau jika pelajar memilih untuk menggunakan suatu video dalam tugasannya, dia harus memperkenalkan dan membincangkannya tetapi tidak harus memainkan video itu.

  KEHIDUPAN KRISTIAN KITA

15. Selepas lagu dinyanyikan, 15 minit yang berikutnya akan mengandungi satu atau dua bahagian yang akan membantu hadirin menerapkan ajaran dalam Firman Tuhan. Kecuali apabila dinyatakan, bahagian-bahagian ini boleh ditugaskan kepada penatua atau pembantu sidang yang layak. Namun, bahagian keperluan tempatan patut dikendalikan oleh seorang penatua. Untuk bahagian perbincangan, saudara boleh menanyakan soalan tambahan sepanjang bahagiannya, dan bukan hanya soalan-soalan yang disediakan dalam rencana. Pastikan kata-kata pengenalan adalah ringkas supaya mempunyai cukup masa untuk menonjolkan isi utama dan supaya hadirin dapat berikan komen. Jika terdapat bahagian temu ramah, calon temu ramah digalakkan untuk melakukan bahagian itu di atas pentas dan bukannya dari tempat duduknya, jika dapat.

  16Pembelajaran Bible Sidang: Tiga puluh minit. Bahagian ini patut ditugaskan kepada seorang penatua yang layak. (Sidang yang tidak mempunyai ramai penatua boleh menugaskan bahagian ini kepada pembantu sidang yang layak mengikut keperluan.) Badan penatua harus menentukan siapa yang layak untuk mengendalikan bahagian ini. Saudara yang dipilih harus mempunyai kemahiran untuk mengendalikan pembelajaran dengan cara yang bermakna, menegaskan ayat-ayat Bible yang penting, membantu semua untuk menghargai nilai-nilai praktikal, dan mengadakan perbincangan dalam masa yang ditetapkan. Mereka yang mengendalikan bahagian ini boleh meninjau panduan mengenai cara mengendalikan bahagian soal jawab. (w23.04 ms. 24, kotak) Pembelajaran boleh diakhiri selepas bahagian yang ditugaskan untuk minggu itu diliputi dengan sepenuhnya. Jika dapat, tugaskanlah saudara yang berlainan untuk mengendalikan pembelajaran dan menjadi pembaca setiap minggu. Jika pengerusi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian meminta agar pembelajaran ini disingkatkan, saudara yang mengendalikan pembelajaran harus menentukan bahagian mana yang harus dipendekkan. Dia boleh memilih sama ada perenggan tertentu perlu dibaca atau tidak.

  KATA-KATA PENUTUP

17. Tiga minit. Pengerusi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian akan mengulang kaji isi-isi penting daripada perjumpaan, dan meninjau apa yang akan dibincangkan pada minggu seterusnya. Jika masa mengizinkan, dia juga boleh menyebutkan nama-nama pelajar yang mempunyai tugasan pada minggu berikutnya. Kecuali apabila dinyatakan, semua pengumuman dan surat harus dibacakan oleh pengerusi dalam bahagian ini. Namun, aturan yang tetap, seperti aturan aktiviti penyebaran dan jadual pembersihan harus dipaparkan pada papan kenyataan dan tidak diumumkan dari pentas. Jika pengumuman atau surat yang perlu dibaca akan melebihi masa yang diperuntukkan, dia patut meminta saudara-saudara yang mengendalikan bahagian Kehidupan Kristian Kita untuk memendekkan bahagian mereka. (Lihat  perenggan 16 dan  19.) Perjumpaan akan berakhir dengan lagu dan doa.

  MEMBERIKAN PUJIAN DAN NASIHAT

18. Selepas setiap tugasan pelajar, pengerusi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian mempunyai kira-kira satu minit untuk memberikan pujian dan nasihat berdasarkan nombor pelajarannya. Semasa memperkenalkan tugasan pelajar, pengerusi tidak akan mengumumkan nombor pelajarannya. Namun, selepas tugasan pelajar itu selesai dan setelah memberikan pujian yang sewajarnya, pengerusi boleh menyatakan nombor pelajaran itu. Kemudian dia boleh menjelaskan sebabnya pelajar telah melakukan tugasannya dengan baik, atau sebab dan cara pelajar dapat memberikan lebih banyak perhatian kepada nombor pelajaran yang ditugaskan. Pengerusi juga boleh sebutkan hal-hal lain mengenai tugasan itu yang berguna bagi pelajar atau hadirin. Menurut keperluan setiap pelajar, pengerusi boleh memberikan nasihat tambahan daripada brosur Kasihi Orang, brosur Mengajar, atau buku “Sekolah Penyebaran” (be-IN) secara peribadi selepas perjumpaan atau pada masa yang lain. Dia mungkin memberikan nasihat tambahan tentang pelajaran yang ditugaskan atau nombor pelajaran yang lain.—Lihat  perenggan 19,  24, dan  25 untuk maklumat lanjut mengenai peranan pengerusi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian dan peranan penasihat tambahan.

     MASA

19Semua bahagian, termasuk komen daripada pengerusi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian, tidak patut melebihi masa yang ditetapkan. Walaupun Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian menyatakan masa yang diperuntukkan untuk setiap bahagian, penceramah atau pelajar tidak perlu memasukkan maklumat tambahan semata-mata untuk menghabiskan masa yang diperuntukkan. Jika bahagian-bahagian perjumpaan melebihi masa, pengerusi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian atau penasihat tambahan patut memberikan nasihat secara peribadi. (Lihat  perenggan 24 dan  25.) Seluruh perjumpaan, termasuk lagu dan doa, harus tamat dalam jangka masa 1 jam dan 45 minit.

 KUNJUNGAN PENYELIA LITAR

20. Semasa kunjungan penyelia litar, Pembelajaran Bible Sidang akan digantikan dengan ceramah penyelia litar yang panjangnya 30 minit. Selain perubahan ini, seluruh perjumpaan harus diadakan seperti yang dinyatakan dalam Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian. Sebelum ceramah penyelia litar bermula, pengerusi Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian akan mengulang kaji isi-isi penting yang baru dipelajari, meninjau apa yang akan dibincangkan pada minggu seterusnya, membuat pengumuman, dan membacakan surat, lalu memperkenalkan penyelia litar. Selepas menyampaikan ceramah, penyelia litar akan mengakhiri perjumpaan itu dengan lagu yang dipilihnya. Dia boleh menjemput saudara lain untuk menyampaikan doa penutupan. Semasa kunjungan penyelia litar, kelas tambahan dalam bahasa yang sama dengan bahasa sidang tidak akan diadakan. Sebuah kumpulan boleh terus mengadakan perjumpaan seperti biasa semasa penyelia litar mengunjungi sidang. Namun, kumpulan itu harus bergabung dengan sidang semasa penyelia litar menyampaikan ceramahnya.

 MINGGU PERHIMPUNAN ATAU KONVENSYEN

21. Pada minggu perhimpunan atau konvensyen, sidang tidak akan mengadakan perjumpaan. Ingatkan sidang bahawa program untuk perjumpaan pada minggu itu boleh dikaji secara peribadi atau bersama keluarga.

 MINGGU PERINGATAN

22. Jika hari Peringatan jatuh pada hari biasa dan bukan pada hujung minggu, Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian tidak akan diadakan.

 PENYELIA PERJUMPAAN KEHIDUPAN DAN KEGIATAN KRISTIAN

23. Seorang penatua yang dipilih oleh badan penatua akan berkhidmat sebagai penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian. Dia bertanggungjawab untuk memastikan bahawa perjumpaan itu diaturkan dengan baik dan diadakan mengikut panduan ini. Dia harus mempunyai komunikasi yang baik dengan penasihat tambahan. Sebaik sahaja Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian diterbitkan, penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian akan mengatur semua tugasan perjumpaan pertengahan minggu untuk kedua-dua bulan itu. Ini termasuk tugasan pelajar, pengerusi perjumpaan, dan bahagian lain. Semasa menugaskan bahagian pengerusi perjumpaan dan bahagian lain, dia harus memilih saudara yang telah diluluskan oleh badan penatua. (Lihat  perenggan 3-16 dan  24.) Semasa mengatur tugasan, dia harus mempertimbangkan sama ada topik tersebut sesuai atau layak dibincangkan oleh pelajar itu dengan mengambil kira faktor seperti umur, pengalaman, gaya hidup, reputasi, dan sebagainya. Dia juga harus menggunakan prinsip yang sama semasa menugaskan bahagian lain dalam perjumpaan. Setiap bahagian harus ditugaskan sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum tarikh tugasan. Dia harus gunakan borang Tugasan Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita (S-89) semasa mengaturkan tugasan pelajar. Satu salinan jadual perjumpaan dengan senarai tugasan harus dipaparkan pada papan kenyataan. Badan penatua boleh menugaskan seorang penatua atau pembantu sidang untuk membantu penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian. Namun, hanya penatua yang boleh mengatur tugasan bagi bahagian lain (bukan tugasan pelajar).

    PENGERUSI PERJUMPAAN KEHIDUPAN DAN KEGIATAN KRISTIAN

24. Setiap minggu, seorang penatua akan menjadi pengerusi untuk Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian. (Sidang yang tidak mempunyai ramai penatua boleh menugaskan bahagian ini kepada pembantu sidang yang layak mengikut keperluan.) Dia bertanggungjawab menyediakan kata-kata pembuka dan penutup, dan memperkenalkan semua bahagian perjumpaan. Bergantung pada bilangan penatua dalam sidang, dia juga mungkin perlu mengendalikan bahagian perjumpaan yang lain, terutamanya bahagian yang hanya mengandungi video dan tiada perbincangan. Komen pengerusi bagi setiap bahagian haruslah singkat. Badan penatua akan menentukan penatua-penatua yang layak untuk menjadi pengerusi perjumpaan. Penatua-penatua yang layak biasanya akan ditugaskan sebagai pengerusi secara bergilir-gilir. Bergantung pada keadaan tempatan, penyelia Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian boleh menjadi pengerusi dengan lebih kerap berbanding dengan penatua lain yang layak. Jika seorang penatua boleh mengendalikan Pembelajaran Bible Sidang, kemungkinan besar dia juga layak menjadi pengerusi perjumpaan. Namun, sila ingat bahawa penatua yang menjadi pengerusi perlu memberikan pujian yang spesifik dan nasihat (jika perlu) kepada pelajar dalam cara yang pengasih. Pengerusi juga harus memastikan bahawa perjumpaan tidak melebihi masa. (Lihat  perenggan 17 dan  19.) Jika terdapat ruang yang cukup di pentas dan jika pengerusi menginginkannya, sebuah mikrofon berdiri boleh diletakkan di pentas supaya dia dapat memperkenalkan bahagian seterusnya ketika saudara yang ditugaskan sedang bersiap sedia di podium. Semasa bahagian pembacaan Bible dan Jadilah Penginjil yang Lebih Mahir, pengerusi juga boleh duduk di meja di pentas. Cara-cara begini mungkin dapat menjimatkan masa.

   PENASIHAT TAMBAHAN

25. Seboleh-bolehnya, peranan ini harus dilakukan oleh seorang penatua yang merupakan penceramah yang berpengalaman. Apabila diperlukan, penasihat tambahan akan memberikan nasihat secara peribadi kepada penatua dan pembantu sidang mengenai tugasan mereka. Contohnya, tugasan dalam Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian, ceramah umum, serta tugasan membaca atau mengendalikan Pembelajaran Menara Pengawal atau Pembelajaran Bible Sidang. (Lihat  perenggan 19.) Jika sidang mempunyai beberapa orang penatua yang merupakan penceramah dan pengajar yang mahir, penatua yang berlainan boleh menjadi penasihat tambahan setiap tahun. Penasihat tambahan tidak perlu memberikan nasihat untuk setiap tugasan.

 KELAS TAMBAHAN

26. Bergantung pada bilangan pelajar, sidang boleh mengadakan kelas tambahan untuk tugasan pelajar. Setiap kelas tambahan harus mempunyai penasihat yang layak (seboleh-bolehnya seorang penatua). Jika perlu, seorang pembantu sidang yang layak juga boleh menjadi penasihat. Badan penatua harus menentukan siapa yang mampu menjalankan tugas ini dan sama ada para saudara yang layak harus melakukan tugas ini secara bergilir-gilir. Penasihat harus mengikut prosedur yang dijelaskan di  perenggan 18. Jika kelas tambahan diadakan, para pelajar akan beredar ke kelas itu selepas bahagian Permata Rohani. Selepas bahagian tugasan pelajar yang terakhir, mereka harus kembali ke dewan utama.

 VIDEO

27. Video-video tertentu yang akan ditonton semasa perjumpaan akan disediakan dalam aplikasi JW Library® dan dapat dimainkan melalui pelbagai alat elektronik.

© 2023 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania

S-38-ML 11/23