Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Adakah orang Israel hanya memakan manna dan burung puyuh semasa di padang belantara?

Manna merupakan makanan utama bagi orang Israel semasa di padang belantara selama 40 tahun. (Kel. 16:35) Tetapi sekurang-kurangnya dua kali, Yehuwa juga memberi mereka burung puyuh sebagai makanan. (Kel. 16:12, 13; Bil. 11:31) Selain itu, nampaknya orang Israel mempunyai makanan yang lain.

Sebagai contoh, Yehuwa ada kalanya membawa orang Israel ke “tempat perhentian” yang mempunyai sumber alam yang dapat memenuhi keperluan mereka. (Bil. 10:33) Salah satu tempat itu ialah oasis, atau tanah subur yang berair, di Elim. Bible kata, “Di sana terdapat 12 buah mata air dan 70 batang pokok palma”—nampaknya itu ialah pokok palma kurma. (Kel. 15:27) Buku Plants of the Bible menyatakan bahawa pokok palma kurma “dapat tumbuh meliputi kawasan geografi yang luas, . . . dan merupakan makanan utama di padang pasir dan membekalkan minyak serta tempat berteduh kepada jutaan orang.”

Orang Israel juga mungkin berhenti di oasis utama yang hari ini dikenali sebagai oasis Feiran. Oasis ini merupakan sebahagian daripada Wadi Feiran. a Buku Discovering the World of the Bible menyatakan bahawa panjang wadi, atau lembah sungai ini, “ialah 130 kilometer dan merupakan wadi yang terpanjang, tercantik, dan terkemuka di Sinai.” Buku itu juga menyatakan bahawa “oasis Feiran yang cantik dan penuh dengan pokok palma terletak di wadi ini. Panjang oasis Feiran ialah 4.8 kilometer dan tingginya kira-kira 610 meter di atas paras laut. Oasis ini digambarkan sebagai Taman Eden di Sinai. Sejak zaman kuno lagi, banyak orang datang ke sini kerana terdapat ribuan pokok palma kurma.”

Pokok palma kurma di oasis Feiran

Apabila orang Israel meninggalkan Mesir, mereka membawa adunan tepung, bekas adunan, dan mungkin bijirin dan minyak. Sudah tentu, semua makanan itu akan cepat habis. Orang Israel juga membawa “banyak sekali ternakan, termasuk biri-biri dan lembu.” (Kel. 12:34-39) Namun, keadaan hidup di padang belantara sangat susah dan bilangan binatang yang dibawa oleh mereka pasti cepat berkurang. Ada yang mungkin dimakan, dan yang lain mungkin dipersembahkan sebagai korban, bahkan kepada tuhan-tuhan palsu. b (Kis. 7:39-43) Tetapi, orang Israel ada menternak binatang. Bagaimanakah kita tahu? Perhatikan kata-kata Yehuwa kepada orang Israel yang tidak beriman kepada-Nya. Dia berfirman, “Anak-anak kamu akan menjadi gembala di padang belantara selama 40 tahun.” (Bil. 14:33) Barangkali, mereka boleh mendapatkan susu dan daging daripada ternakan mereka. Tetapi memandangkan terdapat sekitar tiga juta orang Israel di padang belantara selama 40 tahun, sudah pasti semua itu tidak cukup untuk mereka. c

Bagaimanakah mereka mencari makanan dan air yang mencukupi untuk ternakan mereka? d Pada zaman dahulu, nampaknya kadar hujan di situ lebih tinggi maka terdapat lebih banyak tumbuhan di padang belantara. Buku Insight on the Scriptures, Jilid 1, menyatakan bahawa 3,500 tahun dahulu, “jumlah air di Arabia sebenarnya jauh lebih banyak daripada air yang ada sekarang. Memandangkan kita boleh melihat banyak wadi atau lembah yang kering dan dalam (yang dahulu merupakan dasar sungai), hal itu membuktikan bahawa pada zaman dahulu, hujan yang turun cukup banyak untuk menghasilkan aliran air.” Biarpun begitu, padang belantara masih merupakan tempat yang gersang dan menakutkan. (Ul. 8:14-16) Tanpa air yang dibekalkan oleh Yehuwa secara mukjizat, orang Israel dan ternakan mereka pasti akan mati.​—Kel. 15:22-25; 17:1-6; Bil. 20:2, 11.

Musa memberitahu orang Israel bahawa Yehuwa memberi mereka manna sebagai makanan supaya mereka “sedar bahawa manusia mesti hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang keluar daripada mulut Yehuwa.”​—Ul. 8:3.

a Lihat Menara Pengawal terbitan 1 Mei 1992, dalam bahasa Indonesia, ms. 24-25.

b Dua kali, Bible menyebut bahawa binatang dipersembahkan kepada Yehuwa di padang belantara. Kali pertama adalah semasa upacara pelantikan para imam. Kali kedua adalah semasa Perayaan Paska. Kedua-dua peristiwa ini berlaku pada tahun 1512 Sebelum Masihi, iaitu tahun kedua selepas orang Israel keluar dari Mesir.—Im. 8:14–9:24; Bil. 9:1-5.

c Semasa orang Israel sudah berada di padang belantara untuk hampir 40 tahun, mereka menjarah ribuan binatang selepas mengalahkan musuh mereka. (Bil. 31:32-34) Namun, mereka terus makan manna sehingga mereka masuk ke Tanah yang Dijanjikan.—Yos. 5:10-12.

d Memandangkan jumlah manna yang turun adalah sesuai dengan jumlah manna yang dapat dimakan oleh setiap orang, nampaknya ternakan mereka tidak memakan manna.​—Kel. 16:15, 16.