Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tahukah Anda?

Tahukah Anda?

Apakah jenis kereta kuda yang dinaiki sida-sida dari Etiopia semasa Filipus memberikan kesaksian kepadanya?

DALAM bahasa asal, perkataan yang diterjemahkan sebagai “kereta kuda” dalam Terjemahan Dunia Baharu dapat merujuk kepada beberapa jenis kereta kuda. (Kis. 8:​28, 29, 38) Namun, kita boleh menyimpulkan bahawa kereta kuda yang dinaiki lelaki Etiopia itu agak besar dan bukan jenis yang digunakan untuk peperangan atau berlumba. Perhatikan beberapa sebab.

Lelaki Etiopia itu berpangkat tinggi dan perjalanannya jauh. “Dia pegawai tinggi yang berkhidmat kepada Kandake, iaitu ratu negeri Etiopia, dan dia bertanggungjawab mengurus semua harta ratu.” (Kis. 8:27) Pada zaman kuno, negeri Etiopia merangkumi Sudan dan bahagian paling selatan di Mesir moden. Walaupun lelaki itu mungkin tidak menaiki kenderaan yang sama sepanjang perjalanannya, dia pasti telah membawa bagasi untuk perjalanannya yang jauh. Pada abad pertama, kereta kuda yang digunakan untuk mengangkut penumpang mempunyai empat roda dan berbumbung. Menurut buku Acts—An Exegetical Commentary, “kenderaan sebegini dapat membawa lebih banyak bagasi, lebih selesa, dan mungkin membolehkan orang membuat perjalanan yang lebih jauh.”

Lelaki Etiopia itu sedang membaca semasa Filipus menghampirinya. Bible kata, “Filipus berlari di sebelah kereta kuda lalu mendengar sida-sida itu membaca kitab Nabi Yesaya.” (Kis. 8:30) Kereta kuda yang digunakan untuk membawa penumpang tidak dapat bergerak laju. Oleh itu, lelaki Etiopia itu dapat membaca semasa dalam kereta kuda, dan Filipus dapat berlari di sebelah kereta kuda itu.

Lelaki Etiopia itu “menggesa Filipus menaiki kereta kudanya dan duduk bersamanya.” (Kis. 8:31) Penunggang kereta kuda lumba biasanya akan berdiri. Tetapi kereta kuda yang digunakan untuk perjalanan jauh mempunyai lebih banyak ruang. Itulah sebabnya lelaki Etiopia itu dan Filipus dapat duduk bersama-sama.

Selaras dengan catatan di Kisah bab 8 dan penemuan sejarah, gambar dalam bahan bacaan kita baru-baru ini menunjukkan lelaki Etiopia itu menaiki kereta kuda yang lebih besar daripada kereta kuda yang digunakan untuk berlumba atau berperang.