Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Silinder tanah liat yang mengandungi nama Belsyazar

Tahukah Anda?

Tahukah Anda?

Bagaimanakah ahli kaji purba membuktikan bahawa Belsyazar dari Babilon memang wujud dan merupakan seorang raja?

SELAMA bertahun-tahun, para pengkaji Bible mendakwa bahawa Raja Belsyazar, yang disebutkan dalam buku Daniel, tidak wujud. (Dan. 5:1) Hal ini demikian kerana ahli kaji purba tidak pernah menjumpai bukti bahawa raja ini benar-benar wujud. Tetapi pandangan mereka berubah pada tahun 1854. Mengapa?

Pada tahun itu, seorang konsul Britain bernama J. G. Taylor menjelajahi reruntuhan di kota kuno Ur, yang kini terletak di selatan Iraq. Di situ, dia menjumpai beberapa buah silinder tanah liat di dalam sebuah menara yang besar. Setiap silinder itu berukuran kira-kira 10 cm panjang. Pada permukaan silinder itu terpahat tulisan pepaku (cuneiform). Salah satu silinder itu mengandungi doa yang diucapkan supaya raja Babilon, iaitu Nabonidus, dan anak sulungnya, Belsyazar, panjang umur. Penemuan ini telah membuktikan kewujudan Belsyazar.

Bible bukan sahaja menyebut bahawa Belsyazar wujud, tetapi juga menyatakan bahawa dia ialah seorang raja. Sekali lagi, para pengkaji meragui ketepatan Bible. Contohnya, pada abad ke-19, seorang ahli sains Inggeris yang bernama William Talbot menulis bahawa ada orang yang menyatakan bahawa “Bel-sar-ussur [Belsyazar] memerintah bersama bapanya Nabonidus. Tetapi tiada apa-apa yang membuktikan hal ini.”

Tetapi hal ini terbukti benar apabila tulisan pada silinder lain menunjukkan bahawa bapa Belsyazar, iaitu Raja Nabonidus, meninggalkan ibu kota buat masa yang lama. Apakah yang berlaku semasa ketiadaannya? Buku Encyclopaedia Britannica menyatakan, “Semasa Nabonidus berada di luar negara, dia menyuruh Belsyazar untuk menjadi raja dan memberinya kuasa atas sebahagian besar angkatan tenteranya.” Jadi boleh dikatakan bahawa Belsyazar menggantikan ayahnya sebagai raja Babilon pada waktu itu. Maka, Alan Millard, seorang ahli kaji purba dan pakar bahasa, bersetuju dengan pernyataan dalam “Buku Daniel yang memanggil Belsyazar ‘raja.’”

Bagi hamba Tuhan, kita tahu bahawa buku Daniel merupakan sebahagian daripada Bible dan Nabi Daniel juga disebut dalam buku-buku Bible yang lain. Itulah bukti yang paling kukuh bahawa buku Daniel diilhami oleh Tuhan dan dapat dipercayai.​—2 Tim. 3:16.