Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Nama “Tattannu” tertulis pada salah satu sisi batu bersurat ini

Satu Lagi Bukti

Satu Lagi Bukti

Adakah hasil kaji purba menyokong catatan Alkitab? Pada tahun 2014, sebuah rencana dalam majalah Biblical Archaeology Review menyatakan bahawa kajian arkeologi mengesahkan kewujudan sekurang-kurangnya 50 orang watak dalam Kitab Ibrani! Namun, ada seorang yang tidak disenaraikan, iaitu Tatnai. Siapakah Tatnai? Mari kita lihat catatan Alkitab tentangnya.

Kota Yerusalem terletak di sebelah barat Sungai Efrat dan pernah dirangkumi dalam wilayah kuasa empayar Persia. Orang Persia memanggil kawasan itu “Seberang Sungai.” Setelah menakluki Babilonia, orang Persia membebaskan orang Yahudi yang ditawan dan mengizinkan mereka membina semula Rumah Yehuwa di Yerusalem. (Ezra 1:1-4) Tetapi musuh orang Yahudi menentang projek pembinaan itu dan menuduh bahawa orang Yahudi ingin melawan kerajaan Persia. (Ezra 4:4-16) Pada zaman pemerintahan Darius I (522-486 SM), seorang pegawai Persia telah menyiasat tuduhan itu. Menurut Alkitab, pegawai itu ialah “Gabenor Tatnai, dari Efrat Barat.”​—Ezra 5:3-7.

Beberapa batu bersurat yang mengandungi nama Tatnai telah dijumpai. Batu-batu itu mungkin sebahagian daripada rekod yang disimpan dalam arkib keluarga. Salah satu batu bersurat itu mengandungi janji yang ditulis pada tahun ke-20 pemerintahan Darius I, iaitu tahun 502 SM. Salah seorang saksi kepada janji itu merupakan hamba kepada “Tattannu, gabenor Seberang Sungai.” Itulah Tatnai yang disebut dalam buku Ezra.

Apakah bidang kuasa Tatnai? Pada tahun 535 SM, Kores yang Agung membahagikan tanah jajahannya kepada beberapa wilayah. Salah satu wilayah itu dipanggil “Babilon dan Seberang Sungai.” Wilayah itu kemudiannya dibahagikan kepada dua, dan salah satunya dipanggil “Seberang Sungai.” Kawasan itu merangkumi Coele-Siria, Fenisia, Samaria, dan Yehuda, dan mungkin diperintah dari Damsyik. Itulah kawasan yang dikuasai oleh Tatnai antara tahun 520 hingga 502 SM.

Setelah pergi ke Yerusalem untuk menyiasat tuduhan bahawa orang Yahudi hendak memberontak, Tatnai melaporkan kepada Darius kata-kata orang Yahudi bahawa Kores telah mengizinkan mereka untuk membina semula Rumah Yehuwa. Selepas Darius memerintah agar arkib kerajaan diperiksa, kata-kata mereka didapati benar. (Ezra 5:6, 7, 11-13; 6:1-3) Maka, Tatnai disuruh agar tidak mengganggu pembinaan itu.​—Ezra 6:6, 7, 13.

Sememangnya, “Gabenor Tatnai, dari Efrat Barat” bukanlah tokoh penting dalam sejarah. Namun, catatan Alkitab mengenai kedudukannya sebagai gabenor adalah tepat. Itulah satu lagi bukti bahawa penemuan arkeologi sentiasa mengesahkan ketepatan Alkitab.