Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sifat Suka Memberi Membawa Berkat

Sifat Suka Memberi Membawa Berkat

ALEXANDRA duduk di dalam bas sambil menunggu untuk melintasi sempadan sebuah negara Amerika Selatan. Tiba-tiba dia terdengar seorang berkata, “Semua orang boleh jalan kecuali orang Cina ini!” Alexandra turun dari bas untuk melihat apa yang berlaku. Seorang pemuda Cina yang tidak fasih berbahasa Sepanyol sedang bersusah payah untuk menjelaskan situasinya kepada pegawai di situ. Memandangkan Alexandra menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa dalam bahasa Cina, dia menawarkan bantuan sebagai penterjemah.

Pemuda itu berkata bahawa dia bukan pendatang haram. Sebenarnya dia kehilangan dokumen dan wang kerana dirompak. Mula-mulanya pegawai itu tidak percaya dan bahkan mengesyaki Alexandra terlibat dalam pemerdagangan manusia. Akhirnya pegawai itu membenarkan mereka pergi, tetapi pemuda itu perlu membayar denda kerana tidak mempunyai dokumen yang diperlukan. Oleh sebab dia tiada duit, Alexandra meminjamnya $20. Pemuda itu sangat berterima kasih dan berjanji akan memulangkan lebih daripada $20. Tetapi Alexandra menjelaskan bahawa dia tidak mengharapkan balasan; dia sudi membantu kerana itulah yang sepatutnya dilakukan. Dia memberi pemuda itu bahan bacaan Bible dan menggalakkannya untuk belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa.

Hati kita tersentuh semasa mendengar bagaimana orang daripada pelbagai latar belakang menghulurkan bantuan kepada seseorang yang tidak dikenali. Adakah anda juga sudi memberikan bantuan dalam cara sedemikian? Soalan itu penting kerana Yesus berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” (Kisah 20:35) Sebenarnya, para saintis juga mendapati bahawa sifat suka memberi berfaedah untuk anda. Bagaimana?

“MEMBERI DENGAN SENANG HATI”

Sifat suka memberi dan rasa gembira tidak terpisah. Pada abad pertama, orang Kristian telah menderma dengan murah hati untuk membantu rakan seiman yang hidup susah. Mengenai mereka, Rasul Paulus menulis, “Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.” (2 Korintus 8:4; 9:7) Jelaslah, mereka bahagia kerana sudi memberi.

Menurut sebuah kajian, semasa kita memberi, “bahagian otak yang mengawal rasa gembira, percaya, dan hubungan sosial, akan menjadi aktif dan menghasilkan rasa puas” dalam diri kita. Satu kajian lain mendapati bahawa seseorang akan “lebih gembira semasa memberikan wang kepada orang lain berbanding membelanjakannya untuk diri sendiri.”

Pernahkah anda berasa bahawa anda tidak mampu memberi kerana situasi anda kurang mengizinkan? Sebenarnya, semua orang dapat “memberi dengan senang hati.” Apa yang kita beri itu mungkin tidak banyak, tetapi yang penting adalah memberi dengan ikhlas. Salah seorang Saksi Yehuwa telah mengirim sumbangan kepada penerbit majalah ini dan menulis, “Selama ini saya hanya dapat memberikan sedikit wang di Dewan Perjumpaan. Namun, berkat yang saya terima daripada Tuhan Yehuwa jauh lebih banyak daripada apa yang saya berikan. . . . Terima kasih kerana membolehkan saya untuk memberikan sumbangan. Saya rasa lega hati.”

Selain memberikan wang, terdapat banyak lagi cara untuk memberi.

SIFAT SUKA MEMBERI MENYIHATKAN BADAN

Sifat suka memberi bermanfaat untuk anda dan orang lain

Bible menyatakan, “Orang yang baik hati menguntungkan diri; orang yang kejam merugikan diri.” (Amsal 11:17) Orang yang baik hati rela memberikan masa, tenaga, dan perhatian, kepada orang lain. Oleh sebab mereka murah hati, mereka mendapat pelbagai manfaat, termasuk dari segi kesihatan.

Kajian menunjukkan bahawa orang yang menawarkan diri untuk membantu orang lain biasanya lebih jarang mengalami rasa sakit dan murung. Kesihatan mereka juga bertambah baik secara keseluruhan. Sesetengah pesakit kronik seperti penghidap HIV atau sklerosis berganda juga bertambah sihat kerana memberi dengan murah hati. Apabila orang yang mencuba mengatasi ketagihan alkohol sering membantu orang lain, mereka akan berasa lebih ceria dan tidak begitu cenderung untuk mengulangi tabiat lama.

Para penyelidik menyatakan bahawa hal itu demikian kerana “rasa belas kasihan, baik hati, dan ingin membantu, akan mengurangkan kesan emosi negatif pada diri seseorang.” Sifat suka memberi juga dapat mengurangkan stres dan tekanan darah. Individu yang kehilangan pasangan hidup juga dapat mengatasi rasa sedih dengan lebih cepat jika mereka membantu orang lain.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sifat suka memberi bermanfaat untuk anda.

AMALAN YANG MENJADI IKUTAN

Yesus menggalakkan pengikutnya, “Amalkanlah tabiat memberi dan orang lain juga akan memberi kepada kamu. Dengan murah hati, mereka akan mencurahkan pemberian yang dipadatkan dan digoncang-goncang sehingga berlimpah-limpah dalam lipatan jubahmu. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang, juga akan digunakan untuk kamu.” (Lukas 6:38) Kemurahan hati anda akan mendorong orang lain untuk menunjukkan penghargaan dan bermurah hati juga. Ya, sifat suka memberi mengukuhkan persahabatan dan menggalakkan kerjasama.

Sifat suka memberi mengukuhkan persahabatan dan menggalakkan kerjasama

Para pengkaji hubungan manusia mendapati bahawa “orang yang sentiasa bermurah hati menggalakkan orang lain untuk berbuat demikian juga.” Sebenarnya, “kisah-kisah tentang kebaikan hati pun dapat mendorong orang untuk bermurah hati.” Menurut satu kajian, perbuatan baik “seorang individu dapat mempengaruhi banyak orang, bahkan orang yang tidak dikenalinya.” Maksudnya, satu perbuatan baik dapat mendorong ramai orang untuk berbuat baik juga. Ya, jika lebih banyak orang suka memberi, kesannya akan sangat positif.

Peristiwa di Florida, A.S., membuktikan kesan positif ini. Sekumpulan Saksi-Saksi Yehuwa telah menyertai kerja membantu mangsa taufan di sana. Semasa mereka menunggu bekalan untuk membaiki sebuah rumah, mereka mendapati pagar seorang jiran sudah rosak dan menawarkan diri untuk membaikinya. Jiran itu kemudiannya menulis sepucuk surat kepada ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa. Dia menulis, “Saya sangat bersyukur. Mereka adalah antara orang terbaik yang pernah saya jumpa.” Dia juga memberikan sumbangan untuk menyokong “kerja Saksi-Saksi yang luar biasa.”

CONTOHILAH INDIVIDU YANG PALING MURAH HATI

Menurut kajian sains, “nampaknya sifat suka membantu wujud secara semula jadi.” Kanak-kanak didapati menunjukkan sifat ini “bahkan sebelum mereka pandai bercakap.” Mengapa? Bible menyatakan bahawa Tuhan menjadikan manusia “seperti diri-Nya sendiri.” Maksudnya, mereka memiliki sifat-sifat yang murni seperti Tuhan.Kejadian 1:27.

Salah satu sifat Pencipta kita, Tuhan Yehuwa, ialah kemurahan hati. Dia mengurniai kita nyawa dan segala sesuatu yang diperlukan untuk hidup dengan bahagia. (Kisah 14:17; 17:26-28) Dengan mempelajari Alkitab, kita dapat mengenali Bapa kita yang di syurga, tujuan-Nya bagi kita, dan apa yang telah dilakukan-Nya supaya kita mempunyai masa depan yang bahagia. * (1 Yohanes 4:9, 10) Ya, Yehuwa ialah Individu yang paling murah hati. Oleh sebab kita diciptakan seperti-Nya, kita akan mendapat manfaat dan perkenan-Nya apabila kita memberi dengan murah hati.Ibrani 13:16.

Masihkah anda ingat Alexandra yang disebut di awal rencana ini? Apakah yang berlaku kemudian? Walaupun seorang penumpang bas yang lain mengatakan bahawa Alexandra membazirkan duit sendiri, apabila mereka tiba di destinasi, pemuda itu menghubungi kawan-kawannya, dan hutang $20 itu telah dibayar. Selain itu, pemuda tersebut mula belajar Bible. Tiga bulan kemudian, Alexandra menjumpainya semasa di konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa bahasa Cina di Peru. Sebagai tanda penghargaan, pemuda itu menjemput Alexandra dan kawan-kawan Alexandra untuk makan di restorannya.

Sifat suka memberi dan membantu orang membawa sukacita yang besar. Semasa berbuat demikian, sukacita anda pasti akan berlipat ganda jika anda juga dapat membantu orang mengenali Tuhan Yehuwa, Sumber segala pemberian yang baik! (Yakobus 1:17) Maka teruslah memberi, dan anda pasti akan menuai berkatnya!

^ per. 21 Untuk maklumat lanjut, sila lihat buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dan boleh didapati di www.pr418.com/ms. Lihat BAHAN BACAAN > BUKU & BROSUR.