Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 3

Cara Selesaikan Masalah

Cara Selesaikan Masalah

“Kamu harus saling mengasihi dengan sepenuh hati, kerana jika kamu saling mengasihi, kamu juga bersedia untuk saling mengampuni.”​—1 Petrus 4:8

Selepas berkahwin, anda berdua akan menghadapi pelbagai masalah. Masalah mungkin disebabkan oleh perbezaan dalam pemikiran, perasaan, dan cara anda berdua melakukan sesuatu. Masalah juga mungkin disebabkan perkara lain dan kejadian yang tidak terduga.

Melarikan diri daripada masalah memang mudah, tetapi Bible menasihati kita untuk menghadapinya. (Matius 5:23, 24) Dengan menerapkan nasihat Bible, anda akan mendapat penyelesaian yang terbaik bagi masalah anda.

1 BINCANG TENTANG MASALAH ITU

NASIHAT BIBLE: Ada “waktu untuk bertutur.” (Pengkhutbah 3:7) Pastikan anda meluangkan masa untuk membincangkan masalah itu. Beritahu dengan jujur tentang perasaan dan fikiran anda. Anda harus selalu “mengatakan yang benar” kepada pasangan anda. (Efesus 4:25) Elakkan daripada bertengkar walaupun tidak mudah untuk mengawal emosi. Bercakap dengan tenang dapat mengelakkan pertengkaran.​—Amsal 15:4; 26:20.

Walaupun anda tidak bersetuju, tunjuklah sikap yang menyenangkan serta kasih dan hormat kepada pasangan anda. (Kolose 4:6) Cuba selesaikan masalah secepat mungkin, dan jangan berhenti berkomunikasi.​—Efesus 4:26.

ANDA BOLEH:

  • Tetapkan masa yang sesuai untuk membincangkan masalah itu

  • Dengar dan jangan mencelah sewaktu pasangan anda bercakap. Setelah itu, anda tentu berpeluang untuk bercakap

2 DENGAR DAN FAHAMI

NASIHAT BIBLE: “Kamu harus saling mengasihi dengan mesra . . . Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat.” (Roma 12:10) Cara anda mendengar sangat penting. Cuba fahami pandangan pasangan anda dengan “menunjukkan simpati . . . dan bersikap rendah hati.” (1 Petrus 3:8; Yakobus 1:19) Jangan berpura-pura seperti sedang mendengar. Jika boleh, tangguhkan kerja yang sedang anda lakukan dan beri perhatian yang sepenuhnya kepada pasangan anda, atau tanyalah jika hal itu boleh dibincangkan nanti. Jika anda menganggap pasangan anda sebagai kawan dan bukannya lawan, anda tidak akan mudah tersinggung.​—Pengkhutbah 7:9.

ANDA BOLEH:

  • Dengar dengan fikiran terbuka, meskipun hal itu tidak menyenangkan

  • Fahami erti di sebalik kata-katanya. Perhatikan reaksi dan nada suara pasangan anda

3 AMBIL TINDAKAN

NASIHAT BIBLE: “Setiap usaha menghasilkan keuntungan; bercakap kosong membuat orang jatuh miskin.” (Amsal 14:23) Mencapai persetujuan sahaja tidak cukup. Anda berdua perlu mengambil tindakan selaras dengan keputusan yang dibuat. Hal ini mungkin tidak mudah, tetapi usaha anda tidak akan sia-sia. (Amsal 10:4) Jika anda berdua bekerjasama, usaha anda akan membuahkan ‘hasil yang lebih baik.’​—Pengkhutbah 4:9.

ANDA BOLEH:

  • Tentukan langkah-langkah praktikal yang anda berdua akan ambil untuk menyelesaikan masalah

  • Dari masa ke masa, buatlah penilaian tentang kemajuan anda