Lompat ke kandungan

Saudari Hermine Schmidt

18 APRIL 2024
JERMAN

Hermine Schmidt, Saksi Terakhir yang Merupakan Bekas Tahanan Kem Konsentrasi Nazi, Meninggal pada Usia 98 Tahun

Hermine Schmidt, Saksi Terakhir yang Merupakan Bekas Tahanan Kem Konsentrasi Nazi, Meninggal pada Usia 98 Tahun

Hermine sebelum dihantar ke kem konsentrasi Stutthof

Pada 31 Mac 2024, Saudari Hermine Schmidt telah meninggal pada usia 98 tahun. Dia ialah Saksi terakhir yang masih hidup (yang diketahui) yang pernah ditahan di kem konsentrasi Nazi kerana imannya.

Hermine lahir pada 13 November 1925 di bandar Gdańsk, yang kini sebahagian daripada negara Poland. Ibu bapanya, Oskar dan Frieda Koschmieder, ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka telah menanam benih kebenaran dalam hati Hermine dan bantunya membina iman yang teguh. Pada 1939, askar Nazi telah mengambil alih Gdańsk dan mula menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa dengan teruk. Meskipun demikian, Hermine memutuskan untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis pada 2 Mei 1942. Ketika itu, dia berumur 16 tahun.

Pada Jun 1943, Hermine telah ditahan oleh askar Nazi. Kemudian, dia ditahan sekali lagi pada April 1944. Kali ini, dia dihantar ke kem konsentrasi Stutthof. Mengenang kembali pengalaman pahit itu, Hermine berkata, “Memang teruk sekali, dan saya rasa susah untuk terima kenyataan itu. Mereka menghina dan memalukan kami. Pihak Gestapo melakukan apa yang terdaya untuk mematahkan kesetiaan saya. Saya bukanlah hero. Saya cuma seorang gadis biasa. Tapi tekad saya sangat kuat dan saya tahu apa yang saya harus lakukan. Kesetiaan dan hati nurani saya sedang diuji. Apabila kita bertindak mengikut hati nurani, kita akan rasa tenang. Kita juga kekalkan hubungan yang damai dengan Tuhan.”

Horst dan Hermine pada Mac 1995

Setahun kemudian, iaitu pada April 1945, askar Rusia telah mara ke kem Stutthof. Pegawai SS Jerman memaksa banyak banduan untuk naik bot yang akan dibiarkan hanyut di laut, semata-mata kerana mereka tidak mahu para banduan diselamatkan oleh askar Rusia. Hermine dan 370 orang lain adalah antara banduan yang berada dalam sebuah bot. Namun mereka telah diselamatkan semasa bot tersebut ditarik ke Pulau Møn di Denmark pada Mei 1945. Tidak lama selepas itu, Hermine dapat berjumpa semula dengan ibu bapanya.

Pada 1947, Hermine berkahwin dengan Horst Schmidt. Horst pernah menolak khidmat tentera dan membantu mengedarkan bahan bacaan Bible semasa kerja Saksi-Saksi Yehuwa diharamkan. Dia dibicarakan lalu dijatuhkan hukuman mati. Semasa menunggu hukumannya, dia telah ditahan di penjara Brandenburg-Görden. Tetapi pada 27 April 1945, dia telah dibebaskan. Setelah berkahwin hampir 63 tahun, Horst telah meninggal pada tahun 2010.

Selama bertahun-tahun, Hermine dan Horst mengongsi pengalaman mereka dengan ramai orang. Dalam sebuah temu ramah pada tahun 1998, Hermine meluahkan perasaannya tentang haluan untuk mengekalkan kesetiaannya. Dia berkata, “Walaupun jalan ini tidak mudah, saya rasa bahagia. Saya tidak akan menggadaikannya untuk apa-apa.”

Kita sangat bangga dengan teladan Saudari Hermine dan kesetiaannya meskipun dianiaya. Semoga kita terdorong untuk meniru imannya, tetap berani dan teguh, dan yakin bahawa Yehuwa akan melindungi umat-Nya yang setia.—Mazmur 31:23, 24.