Lompat ke kandungan

Adakah Wang Punca Segala Kejahatan?

Adakah Wang Punca Segala Kejahatan?

Jawapan Bible

 Tidak. Bible tidak mengatakan bahawa wang ialah sesuatu yang jahat atau punca segala hal yang jahat. Orang sering berkata “wang adalah punca segala kejahatan,” tetapi ungkapan ini merupakan petikan Bible yang tidak lengkap, bahkan mengelirukan. Sebenarnya, Bible mengatakan bahawa “cinta akan wang punca segala kejahatan.” a1 Timotius 6:10, Alkitab Versi Borneo, penekanan ditambah.

 Apakah yang Bible katakan tentang wang?

 Bible mengakui bahawa wang itu bermanfaat, bahkan dapat “melindungi seseorang,” apabila digunakan dengan bijak. (Pengkhutbah 7:12) Tambahan pula, Bible memuji orang yang murah hati, termasuklah mereka yang memberikan wang kepada orang lain.—Amsal 11:25.

 Pada masa yang sama, Bible memberi kita amaran agar tidak menjadikan wang sebagai tumpuan hidup kita. Bible mengatakan, “Hendaklah cara hidup kamu bebas daripada cinta akan wang. Sebaliknya hendaklah kamu berpuas hati dengan apa yang kamu miliki.” (Ibrani 13:5) Maka, kita harus menggunakan wang yang kita miliki dengan sebaik-baiknya, dan tidak mengejar kekayaan. Sebaliknya, kita berazam untuk berpuas hati dengan perkara asas yang kita perlukan, seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal.—1 Timotius 6:8.

 Mengapakah Bible memberi kita amaran tentang sikap cinta akan wang?

 Orang yang tamak tidak akan menerima kehidupan kekal. (Efesus 5:5) Hal ini kerana ketamakan merupakan sejenis penyembahan berhala, atau ibadat palsu. (Kolose 3:5) Orang yang tamak juga sering mengabaikan prinsip yang baik demi mendapatkan apa yang diingini mereka. Amsal 28:20 mengatakan bahawa “orang yang ingin cepat kaya pasti akan melakukan kesalahan.” Mereka mungkin tergoda untuk melakukan jenayah, seperti memeras ugut, menipu, menculik, atau membunuh.

 Biarpun seseorang yang cinta akan wang tidak melakukan perbuatan yang jahat, sikap itu tetap membawa kesan yang negatif. Bible mengatakan bahawa “orang yang bertekad untuk menjadi kaya akan menyerah kepada godaan, jatuh ke dalam jerat, dan ditawan oleh banyak keinginan yang sia-sia dan yang memudaratkan.”—1 Timotius 6:9.

 Apakah manfaat yang kita peroleh apabila kita menerapkan nasihat Bible tentang wang?

 Jika kita tidak menggadaikan nilai-nilai moral dan rohani demi memperoleh lebih banyak wang, kita dapat memelihara maruah diri serta perkenan dan sokongan Tuhan. Perhatikan janji Tuhan kepada mereka yang berusaha untuk menyenangkan hati-Nya, “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.” (Ibrani 13:5, 6) Dia juga berjanji bahawa “orang yang setia akan mendapat berkat yang berlimpah.”—Amsal 28:20.

a Ayat ini juga boleh diterjemahkan sebagai: “Sikap cinta akan wang ialah akar kepada segala macam kejahatan.”