Lompat ke kandungan

Siapakah “Tiga Orang Bijaksana”? Adakah Mereka Dipimpin oleh “Bintang” Betlehem?

Siapakah “Tiga Orang Bijaksana”? Adakah Mereka Dipimpin oleh “Bintang” Betlehem?

Jawapan Bible

 Walaupun cerita tentang “tiga orang bijaksana” atau “tiga raja” yang melawat Yesus selepas dia dilahirkan sangat popular semasa musim Krismas, Bible tidak pernah menggunakan istilah sedemikian untuk menggambarkan mereka. (Matius 2:1) Sebaliknya, penulis buku Matius telah menggunakan perkataan Yunani ma’goi untuk memperkenalkan orang yang mengunjungi Yesus. Perkataan itu merujuk kepada orang yang mahir dalam astrologi dan amalan ilmu ghaib yang lain. a Sesetengah penterjemahan Bible menggambarkan mereka sebagai “ahli ilmu bintang,” “ahli kaji bintang,” atau “ahli nujum.” b

 Berapakah “orang bijaksana” yang mengunjungi Yesus?

 Bible tidak menyebut tentang hal ini, dan terdapat pandangan yang berbeza dalam tradisi mengenai jumlah mereka. Menurut Encyclopedia Britannica, “Tradisi budaya Timur menyebut bahawa terdapat 12 orang yang mengunjungi Yesus, manakala tradisi budaya Barat pula menyebut bahawa terdapat tiga orang. Hal ini mungkin kerana para pelawat telah memberikan tiga hadiah, iaitu ‘emas, kemenyan putih, dan mur’ (Matius 2:11) kepada Yesus yang masih bayi.”

 Adakah “orang bijaksana” ini raja?

 Walaupun tradisi Krismas sering menggambarkan mereka sebagai raja, Bible tidak pernah berkata demikian. Menurut Encyclopedia Britannica, keterangan ini ditambah berabad-abad kemudian untuk menjadikan cerita itu lebih menarik.

 Siapakah nama “orang bijaksana”?

 Bible tidak menyatakan nama para ahli nujum itu. Menurut The International Standard Bible Encyclopedia, terdapat cerita dongeng yang berkata bahawa nama-nama mereka ialah Gaspar, Melchior, dan Balthasar.

 Bilakah “orang bijaksana” mengunjungi Yesus?

 Para ahli nujum mungkin telah melawat Yesus beberapa bulan selepas dia dilahirkan. Kita tahu tentang hal ini kerana Raja Herodes ingin membunuh Yesus, maka dia mengutus orang untuk membunuh semua budak lelaki yang berusia dua tahun ke bawah. Dia berbuat demikian berdasarkan maklumat yang diberikan oleh para ahli nujum.—Matius 2:16.

 Para ahli nujum tidak melawat Yesus pada malam dia dilahirkan. Bible berkata, “Mereka masuk ke dalam rumah itu dan melihat anak kecil tersebut bersama ibunya Maria.” (Matius 2:11) Jelas sekali bahawa pada masa itu keluarga Yesus telah tinggal di dalam sebuah rumah, dan Yesus bukan lagi seorang bayi di dalam palung.—Lukas 2:16.

 Adakah Tuhan memimpin “orang bijaksana” untuk mengikut “bintang” Betlehem?

 Sesetengah orang percaya bahawa Tuhan telah menggunakan “bintang” itu untuk memimpin ahli-ahli nujum kepada Yesus. Perhatikan beberapa sebab mengapa hal ini tidak benar:

  •   “Bintang” itu memimpin para ahli nujum ke Yerusalem dahulu. Bible berkata, “Beberapa orang ahli nujum dari Timur datang ke Yerusalem. Mereka bertanya, ‘Di manakah raja orang Yahudi yang telah dilahirkan itu? Kami nampak bintangnya semasa kami berada di Timur, dan kami datang untuk sujud kepadanya.’”—Matius 2:1, 2.

  •   Raja Herodes merupakan orang yang mengutus para ahli nujum ke Betlehem sebelum “bintang” itu muncul semula. Apabila Herodes mendengar tentang seorang lagi “raja orang Yahudi,” dia memanggil orang untuk mengenal pasti tempat lahir Kristus yang dijanjikan. (Matius 2:3-6) Setelah dia mendapati bahawa tempat itu ialah Betlehem, dia mengutus para ahli nujum ke sana dan memberi perintah bahawa mereka harus mencari anak itu dan kembali semula untuk melaporkan hal itu kepadanya.

     Kemudian, barulah para ahli nujum berangkat ke Betlehem. Bible berkata, “Selepas menerima perintah raja, mereka pun berangkat. Dalam perjalanan, mereka nampak bintang yang sebelumnya muncul ketika mereka berada di Timur. Bintang tersebut mendahului mereka lalu berhenti di atas rumah yang didiami anak kecil itu.”—Matius 2:9.

  •   Kemunculan “bintang” itu telah mencetuskan siri peristiwa yang mengancam nyawa Yesus dan menyebabkan banyak kanak-kanak dibunuh. Tuhan telah memberikan amaran kepada para ahli nujum agar tidak kembali kepada Herodes apabila mereka bertolak dari Betlehem.—Matius 2:12.

 Apakah reaksi Herodes? Bible berkata, “Apabila Herodes sedar bahawa dirinya telah diperdaya oleh para ahli nujum tersebut, dia sangat marah lalu mengutus orang untuk membunuh semua budak lelaki yang berusia dua tahun ke bawah di Betlehem dan daerah-daerah yang berdekatan. Dia berbuat demikian berdasarkan maklumat yang diberikan oleh para ahli nujum.” (Matius 2:16) Adalah mustahil bagi Tuhan untuk melakukan hal yang jahat seperti ini.—Ayub 34:10.

a Seorang sejarawan Yunani kuno yang bernama Herodotus berkata bahawa ma’goi pada abad ke-lima SM berasal dari suku Parsi yang berkemahiran dalam bidang astrologi dan pentafsiran mimpi.

b Lihat Alkitab Berita Baik, Alkitab Versi Borneo, dan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu.