Lompat ke kandungan

Apakah Itu Taurat?

Apakah Itu Taurat?

Jawapan Bible

 “Taurat” ataupun “Torah” dalam bahasa Inggeris berasal daripada perkataan Ibrani toh·rahʹ yang boleh diterjemahkan sebagai “kata-kata,” “ajaran,” atau “hukum.” a (Amsal 1:8; 3:1; 28:4) Contoh-contoh berikut menunjukkan bagaimana perkataan Ibrani ini digunakan dalam Bible.

  •   Taurat sering kali merujuk kepada lima buah buku pertama dalam Bible​—Kejadian, Keluaran, Imamat, Bilangan, dan Ulangan. Taurat juga digelar sebagai Pentateuch, daripada perkataan Yunani yang bermaksud “jilid yang mempunyai lima bahagian.” Buku-buku ini juga digelar sebagai “Taurat Musa,” kerana ditulis oleh Musa. (Yosua 8:​31; Nehemia 8:1) Pada asalnya, Taurat ditulis sebagai sebuah buku tetapi kemudiannya dibahagikan supaya mudah dikendalikan.

  •   Taurat juga merujuk kepada hukum-hukum yang diberikan kepada umat Israel mengenai subjek tertentu, seperti ‘peraturan [toh·rahʹ] tentang korban untuk mengampunkan dosa,’ peraturan mengenai penyakit kusta, dan peraturan untuk orang Nazir.​—Imamat 6:​25; 14:57; Bilangan 6:​13.

  •   Kadang-kadang, Taurat merujuk kepada arahan dan ajaran, tidak kira daripada ibu bapa, orang bijak, atau Tuhan.​—Amsal 1:8; 3:1; 13:14; Yesaya 2:3.

Apakah yang terkandung dalam Taurat, atau kelima-lima buku pertama Bible?

  •   Sejarah tentang cara Tuhan berurusan dengan umat manusia sejak manusia diciptakan sehingga kematian Musa.​—Kejadian 1:​27, 28; Ulangan 34:5.

  •   Peraturan-peraturan dalam Hukum Musa. (Keluaran 24:3) Terdapat lebih daripada 600 peraturan dalam hukum itu. Antaranya, yang menonjol ialah Shema, atau pengakuan orang Yahudi tentang iman mereka. Salah satu bahagian daripada Shema itu menyatakan, ‘Kasihilah Yehuwa, Tuhan kamu dengan segenap hati: Tunjukkanlah kasih itu dalam cara hidup dan perbuatan kamu.’ (Ulangan 6:​4-9) Menurut Yesus, inilah “hukum pertama dan hukum yang terpenting.”​—Matius 22:36-​38.

  •   Nama Tuhan, iaitu Yehuwa, muncul sebanyak kira-kira 1,800 kali. Taurat tidak melarang penggunaan nama Tuhan, tetapi Taurat mengandungi perintah-perintah yang menghendaki umat Tuhan untuk menyebut nama-Nya.​—Bilangan 6:​22-​27; Ulangan 6:​13; 10:8; 21:5.

Tanggapan yang salah mengenai Taurat

 Tanggapan yang salah: Hukum-hukum Taurat adalah untuk selama-lamanya dan tidak akan diketepikan.

 Kebenaran: Ada penterjemah Bible yang berkata bahawa sesetengah peraturan yang spesifik dalam Taurat merupakan sesuatu yang perlu diamalkan “sehingga turun-temurun” atau “selama-lamanya.” Contohnya, peraturan-peraturan tentang hari Sabat, aturan keimaman, dan Hari Pengampunan Dosa. (Keluaran 31:16; 40:15; Imamat 16:33, 34) Akan tetapi, perkataan Ibrani yang digunakan dalam ayat-ayat ini boleh juga bermaksud berkekalan hingga masa yang tidak tertentu, tidak semestinya untuk selama-lamanya. b Selepas Hukum Musa berkuat kuasa selama kira-kira 900 tahun, Tuhan menyatakan bahawa hukum ini akan digantikan dengan “perjanjian yang baru.” (Yeremia 31:31-​33) Dengan “berfirman tentang ‘perjanjian yang baru,’ [Tuhan] menjadikan perjanjian yang sebelumnya itu usang.” (Ibrani 8:​7-​13) Hukum Musa telah pun digantikan kira-kira 2,000 tahun yang lalu melalui kematian Yesus Kristus.​—Efesus 2:​15.

 Tanggapan yang salah: Tradisi lisan Yahudi dan Talmud sama penting dengan Taurat yang tertulis.

 Kebenaran: Tiada bukti dalam Bible bahawa Tuhan memberi Musa hukum lisan selain apa yang tertulis dalam Taurat. Sebaliknya, Yehuwa berfirman kepada Musa, “Tulislah firman ini.” (Keluaran 34:27) Namun, hukum lisan yang digelar sebagai Mishnah telah dicatatkan lalu ditambahkan ke dalam kitab Talmud. Kitab ini mengandungi tradisi orang Yahudi yang diamalkan oleh orang Farisi. Sering kali, tradisi-tradisi tersebut bercanggah dengan Taurat. Itulah sebabnya Yesus berkata kepada orang Farisi, “Kamu telah menjadikan firman Tuhan tidak bernilai kerana adat istiadat kamu.”​—Matius 15:​1-9.

 Tanggapan yang salah: Kaum wanita tidak harus diajar mengenai Taurat.

 Kebenaran: Menurut peraturan dalam Hukum Musa, seluruh Hukum patut dibaca kepada semua umat Israel, termasuk kaum wanita dan kanak-kanak. Mengapa? ‘Supaya semua orang akan mendengar pembacaan Taurat dan belajar menghormati Yehuwa, Tuhan mereka, serta taat kepada ajaran-Nya dengan setia.’​—Ulangan 31:10-​12. c

 Tanggapan yang salah: Taurat mengandungi maksud yang tersembunyi.

 Kebenaran: Musa, yang telah mencatatkan Taurat, berkata bahawa mesejnya jelas, dapat diketahui oleh semua orang, dan tidak mengandungi maksud yang tersembunyi. (Ulangan 30:11-14) Namun menurut teori Kabbalah, atau tradisi Yahudi yang berunsur mistik, Taurat mempunyai mesej-mesej yang tersembunyi. Berdasarkan tradisi-tradisi sebegitu, Ayat-Ayat Suci ditafsirkan dengan menggunakan “cerita palsu yang direka dengan licik.” d​—2 Petrus 1:​16.

a Lihat The Strongest Strong’s Exhaustive Concordance of the Bible catatan 8451 dalam bahagian “Hebrew-Aramaic Dictionary Index to the Old Testament.”

b Lihat buku Theological Wordbook of the Old Testament, Jilid 2, muka surat 672-​673.

c Bertentangan dengan ajaran Taurat, tradisi hukum Yahudi sering kali melarang kaum wanita belajar Taurat. Misalnya, Mishnah mengutip kata-kata Rabbi Eliezer ben Hyrcanus: “Sesiapa yang mengajar anak perempuannya mengenai Taurat, disamakan dengan mengajarnya sesuatu yang lucah.” (Sotah 3:4) Talmud Yerusalem juga mengutip kata-katanya: “Lebih baik membiarkan Taurat dihapuskan dengan api daripada diajar kepada kaum wanita.”​—Sotah 3:​19a.

d Misalnya, Encyclopædia Judaica menerangkan teori Kabbalah mengenai Taurat: “Orang yang berpegang pada teori Kabbalah berpendapat bahawa kata-kata dalam Taurat mempunyai maksud yang tersirat, dan kebenarannya hanya dapat difahami oleh para pendeta.”—Edisi kedua, Jilid 11, muka surat 659.