Lompat ke kandungan

Apakah Ajaran Bible tentang Persepuluhan?

Apakah Ajaran Bible tentang Persepuluhan?

Jawapan Bible

 Orang Israel pada zaman kuno diarahkan untuk memberi persepuluhan a daripada hasil pendapatan tahunan. Persepuluhan itu merupakan sumbangan untuk ibadat sejati. Tuhan berkata, “Setiap tahun, kamu mesti memberikan persepuluhan daripada segala hasil ladang kamu.”—Ulangan 14:22.

 Arahan itu telah dinyatakan dalam Hukum Musa yang diberikan Tuhan kepada orang Israel kuno. Tetapi orang Kristian tidak hidup di bawah Hukum Musa. Maka mereka tidak perlu memberikan persepuluhan. (Kolose 2:13, 14) Sebaliknya, setiap orang Kristian memberikan sumbangan mengikut “apa yang telah diputuskan dalam hati masing-masing.” Mereka tidak melakukannya “dengan berat hati atau secara terpaksa, kerana Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.”—2 Korintus 9:7.

 Persepuluhan yang disebut dalam Bible—“Perjanjian Lama”

 Persepuluhan disebut dalam bahagian Bible yang dipanggil Perjanjian Lama. Kebanyakannya disebutkan selepas Hukum Musa diberikan kepada orang Israel. Namun terdapat beberapa kali persepuluhan disebutkan sebelum masa itu.

Sebelum Hukum Musa

 Orang pertama yang memberikan persepuluhan ialah Abram (Abraham). (Kejadian 14:18-20; Ibrani 7:4) Abraham memberikan persepuluhan kepada raja Salem sekali sahaja, dan Bible tidak menyatakan sama ada dia atau anak-anaknya telah memberikan persepuluhan lagi.

 Orang kedua dalam Bible yang memberikan persepuluhan ialah Yakub, iaitu cucu Abraham. Dia berjanji untuk memberikan “satu persepuluh daripada segala” yang diberikan Tuhan jika Tuhan memberkatinya. (Kejadian 28:20-22) Menurut sesetengah cendekiawan Bible, Yakub mungkin memberikan persepuluhan ternakannya. Biarpun Yakub telah berbuat demikian, dia tidak menuntut agar keluarganya turut memberikan persepuluhan.

Di Bawah Hukum Musa

 Orang Israel diarahkan untuk memberikan persepuluhan untuk menyokong ibadat kepada Yehuwa.

  •   Persepuluhan yang diberikan adalah untuk menyokong orang Lewi, termasuk para imam, yang tidak memiliki tanah sendiri. Mereka semua berkhidmat sepenuh masa untuk Tuhan. (Bilangan 18:20, 21) Orang Lewi yang bukan daripada golongan imam menerima persepuluhan daripada umat Israel. Kemudian, mereka memilih bahagian terbaik daripada persepuluhan itu, lalu “mempersembahkan sepersepuluh daripadanya” kepada para imam.—Bilangan 18:26-29.

  •   Persepuluhan kedua yang diberikan setiap tahun membawa manfaat kepada orang Lewi dan orang biasa. (Ulangan 14:22, 23) Orang Israel menggunakan persepuluhan itu semasa perayaan istimewa. Pada tahun-tahun tertentu, persepuluhan itu juga dikongsi dengan orang yang sangat miskin.—Ulangan 14:28, 29; 26:12.

 Bagaimanakah jumlah persepuluhan ditentukan? Orang Israel harus mengekhaskan 10 peratus daripada hasil tanaman mereka. (Imamat 27:30) Jika mereka mahu memberikan persepuluhan dalam bentuk wang, mereka harus membayar harga asalnya dan ditambah lagi dengan 20 peratus. (Imamat 27:31) Mereka juga diperintahkan untuk memberikan “seekor daripada tiap-tiap 10 ekor binatang ternakan.”—Imamat 27:32.

 Bagi ternakan, setiap binatang ke-10 yang keluar dari kandang akan dijadikan persepuluhan. Hukum Musa menyatakan bahawa seseorang tidak boleh memeriksa atau menukar binatang itu. Dia juga tidak boleh menukar binatang itu dengan wang untuk diberikan sebagai persepuluhan. (Imamat 27:32, 33) Tetapi, untuk persepuluhan yang kedua, orang Israel boleh menukar nilai ternakan dengan wang. Hal ini memudahkan orang Israel yang harus membuat perjalanan yang jauh untuk menghadiri perayaan istimewa.—Ulangan 14:25, 26.

 Bilakah orang Israel memberikan persepuluhan? Mereka memberikannya setiap tahun, kecuali pada setiap tahun yang ketujuh. (Ulangan 14:22) Tahun yang ketujuh ialah tahun sabat, iaitu tahun tanah dibiarkan berehat, dan orang Israel tidak mengusahakan tanah mereka. (Imamat 25:4, 5) Oleh itu, persepuluhan tidak perlu diberikan. Pada setiap tahun ketiga dan keenam dalam jangka waktu tujuh tahun itu, persepuluhan yang kedua digunakan untuk membantu orang Lewi dan orang yang miskin.—Ulangan 14:28, 29.

 Apakah hukuman yang dijatuhkan jika seseorang tidak memberikan persepuluhan? Hukum Musa tidak sebut tentang sebarang hukuman jika seseorang gagal memberikan persepuluhan. Orang Israel tidak memberikan persepuluhan hanya kerana takut dihukum, tetapi kerana hal itu memang patut dilakukan. Semasa memberikan persepuluhan, mereka akan menyatakannya kepada Tuhan dan memohon berkat-Nya atas pemberian mereka. (Ulangan 26:12-15) Seseorang yang tidak memberikan persepuluhan dianggap merompak Tuhan.—Maleakhi 3:8, 9.

 Adakah persepuluhan merupakan suatu beban bagi orang Israel? Tidak. Sekiranya mereka memberikan persepuluhan, Tuhan akan memberkati mereka dengan berlimpah-limpah. Mereka tidak akan kekurangan apa-apa. (Maleakhi 3:10) Sebaliknya, apabila mereka tidak memberikannya, seluruh bangsa akan menderita. Mereka tidak akan diberkati. Orang Lewi dan imam juga tidak dijaga dan tidak dapat menjalankan tugas untuk membantu umat Tuhan dalam soal ibadat.—Nehemia 13:10; Maleakhi 3:7.

 Persepuluhan yang disebut dalam Bible—“Perjanjian Baharu”

 Semasa Yesus berada di bumi, umat Tuhan masih memberikan persepuluhan. Tetapi, perintah ini dibatalkan selepas kematian Yesus.

Pada zaman Yesus

 Bahagian Bible yang sering dipanggil Perjanjian Baharu menyatakan bahawa orang Israel masih memberikan persepuluhan. Yesus mengatakan bahawa mereka harus memberikan persepuluhan. Tetapi dia mengutuk pemimpin agama yang terlalu mementingkan persepuluhan tetapi “tidak mempedulikan hal-hal yang lebih penting dalam Hukum, iaitu keadilan, belas kasihan, dan kesetiaan.”—Matius 23:23.

Selepas kematian Yesus

 Selepas kematian Yesus, umat Tuhan tidak lagi perlu memberikan persepuluhan. Pengorbanan Yesus membatalkan Hukum Musa, termasuk perintah “untuk memungut persepuluhan.”—Ibrani 7:5, 18; Efesus 2:13-15; Kolose 2:13, 14.

a Persepuluhan ialah ‘sepersepuluh daripada pendapatan tahunan yang diasingkan untuk tujuan keagamaan.’—Kamus Alkitab oleh W.R.F Browning, halaman 353.