Lompat ke kandungan

Apakah Pandangan Bible tentang Tatu?

Apakah Pandangan Bible tentang Tatu?

Jawapan Bible

 Bible menyebut tentang tatu sekali sahaja di Imamat 19:28: “Jangan buat tatu pada kulit kamu.” Tuhan memberikan perintah ini kepada bangsa Israel, dan hal ini membezakan mereka daripada bangsa lain yang menandakan kulit dengan nama atau simbol tuhan-tuhan mereka. (Ulangan 14:2) Meskipun orang Kristian tidak tertakluk kepada Hukum yang diberikan kepada bangsa Israel, prinsip di sebalik hukum ini patut dipandang serius.

Patutkah orang Kristian membuat tatu?

 Ayat-ayat Bible yang berikut boleh membantu anda memikirkan hal ini secara mendalam:

  •   “Kaum wanita harus menghias diri . . . dengan sederhana.” (1 Timotius 2:9) Prinsip ini harus diterapkan oleh wanita dan lelaki. Kita harus menghormati perasaan orang lain dan tidak menarik perhatian kepada diri sendiri.

  •   Sesetengah orang membuat tatu kerana mahu menunjukkan bahawa mereka mempunyai identiti sendiri atau bahawa mereka sudah berdikari. Ada pula yang ingin menegaskan bahawa mereka berhak melakukan apa yang dikehendaki terhadap tubuh sendiri. Walau bagaimanapun, Bible memberi orang Kristian nasihat berikut: ‘Persembahkan tubuh kamu sebagai korban yang hidup, suci, dan yang menyenangkan hati Tuhan. Dengan ini, kamu menjalankan khidmat suci dengan menggunakan daya pemikiran kamu.’ (Roma 12:1) Gunakanlah “daya pemikiran” anda untuk meneliti mengapa anda mahu membuat tatu. Jika anda hanya mahu mengikut-ikut orang ramai atau diterima sebagai ahli kumpulan tertentu, ingatlah bahawa perasaan anda boleh berubah sedangkan tatu yang dibuat tidak dapat diubah begitu sahaja. Dengan memeriksa motif, anda akan dibantu untuk membuat keputusan yang bijak.—Amsal 4:7.

  •   “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan, tetapi tindakan yang tergesa-gesa akan mengakibatkan kemiskinan.” (Amsal 21:5) Keputusan untuk membuat tatu biasanya dibuat secara tergesa-gesa, namun hal ini boleh meninggalkan kesan yang berpanjangan dan mempengaruhi hubungan anda dengan orang lain serta peluang untuk mendapatkan kerja. Lagipun, anda perlu membelanjakan banyak wang dan mengalami kesakitan jika anda mahu membuang tatu yang telah dibuat. Hasil kajian—serta perniagaan untuk membuang tatu yang semakin maju—menunjukkan bahawa sebilangan besar orang akhirnya menyesal selepas mereka membuat tatu.