Lompat ke kandungan

Adakah Bible Melarang Kepuasan Seks?

Adakah Bible Melarang Kepuasan Seks?

Jawapan Bible

 Bible tidak melarang kepuasan seks. Sebaliknya, Bible mengajar bahawa hubungan seks ialah kurniaan daripada Tuhan untuk pasangan yang telah berkahwin. Dia menciptakan manusia “lelaki dan perempuan” dan “sangat berpuas hati” dengan apa yang telah diciptakan-Nya. (Kejadian 1:​27, 31) Semasa Tuhan mengahwinkan lelaki dan wanita yang pertama, Dia berkata bahawa “mereka berdua akan menjadi satu.” (Kejadian 2:​24) Hal ini bermaksud mereka akan menikmati hubungan seks yang intim dan terikat secara emosi.

 Nikmat seksual yang dirasai oleh suami diungkapkan dalam Bible dengan kata-kata ini: “Bersukacita dengan isteri yang kamu kahwini sejak muda . . . Biarlah buah dadanya memuaskan kamu pada setiap masa. Semoga kamu sentiasa ditawan oleh cintanya.” (Amsal 5:​18, 19) Tuhan juga ingin isteri menikmati hubungan seks. Bible berkata, “Suami dan isteri patut memenuhi kepuasan seks pasangannya.”​—1 Korintus 7:3, God’s Word Bible.

Batasan untuk kepuasan seks

 Tuhan menentukan hubungan seks hanya untuk pasangan suami isteri yang sudah berkahwin, seperti yang dikatakan di Ibrani 13:4, “Hendaklah perkahwinan dihormati oleh semua orang, dan katil perkahwinan haruslah tidak tercemar, kerana Tuhan akan menghakimi orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral dan orang yang berzina.” Suami isteri harus mengekalkan komitmen dan tetap setia kepada satu sama lain. Mereka menikmati hubungan seks yang sepenuhnya bukan dengan mementingkan kepuasan diri sendiri, tetapi dengan mengikut prinsip Bible ini: “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”​—Kisah 20:35.