Lompat ke kandungan

SIAPAKAH PEREKANYA?

Deria Bau Anjing

Deria Bau Anjing

 Para penyelidik mengatakan bahawa anjing dapat menggunakan deria bau untuk menentukan usia, jantina, dan keadaan emosi anjing-anjing lain. Anjing juga dapat dilatih untuk mencari bahan letupan dan dadah. Berbeza dengan manusia, anjing menggunakan hidung untuk “melihat” apa yang berlaku di sekelilingnya.

 Fikirkan: Deria bau anjing ribuan kali lebih tajam daripada deria bau manusia. Menurut U.S. National Institute of Standards and Technology, seekor anjing dapat mengenal pasti unsur-unsur yang amat kecil. “Kebolehannya boleh disamakan dengan kemampuan untuk merasai satu perempat camca kecil gula yang telah dicampurkan dengan air di dalam sebuah kolam renang bersaiz Olimpik.”

 Mengapakah deria bau anjing begitu tajam?

  •   Hidung anjing basah, dan hal ini memudahkannya untuk menangkap zarah-zarah bau.

  •   Hidung anjing mempunyai dua saluran udara; satu untuk bernafas, dan satu lagi untuk menghidu. Apabila anjing menghidu sesuatu, udara akan memasuki rongga hidung yang mengandungi banyak reseptor bau.

  •   Bahagian olfaktori anjing berukuran 130 sentimeter persegi atau lebih, manakala bahagian olfaktori manusia hanya berukuran 5 sentimeter persegi.

  •   Anjing mempunyai 50 kali lebih banyak sel-sel reseptor daripada manusia.

 Semua ini membolehkan anjing untuk mengenal pasti komponen-komponen yang berbeza dalam suatu bau. Contohnya, manusia dapat menghidu bau sup, tetapi menurut sesetengah pakar, anjing dapat mengenal pasti bau setiap bahan yang dimasukkan ke dalam sup itu.

 Para penyelidik di Pine Street Foundation, iaitu sebuah institusi kajian barah, menyatakan bahawa otak dan hidung anjing merupakan “salah satu alat pengesan bau yang paling canggih di planet ini.” Ahli-ahli sains sedang berusaha untuk mencipta “hidung” elektronik yang dapat mengesan bahan letupan, barang larangan, dan penyakit, termasuk barah.

 Apakah pandangan anda? Adakah deria bau anjing wujud secara kebetulan, atau wujud kerana adanya Pencipta?