Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Yeremia 11:11—“Aku Akan Mendatangkan atas Mereka Malapetaka”

Yeremia 11:11—“Aku Akan Mendatangkan atas Mereka Malapetaka”

“Maka inilah firman Yehuwa: ‘Aku akan mendatangkan malapetaka atas mereka, dan mereka tidak akan berjaya melepaskan diri. Apabila mereka berseru kepada-Ku untuk meminta tolong, Aku tidak akan mendengar mereka.’”—Yeremia 11:11, Terjemahan Dunia Baharu.

“Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN, ‘Ketahuilah, Aku akan mendatangkan atas mereka malapetaka yang tidak dapat dielakkan oleh mereka. Mereka akan berseru kepada-Ku, tetapi Aku tidak akan mendengar mereka.’”—Yeremia 11:11, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Yeremia 11:11

 Tuhan sedang bercakap kepada orang Yahudi pada zaman Nabi Yeremia. Oleh sebab mereka mengingkari hukum Yehuwa a dan nasihat yang diberikan menerusi para nabi-Nya, Dia tidak akan melindungi mereka daripada akibat buruk perbuatan mereka.—Amsal 1:24-32.

 “Maka inilah firman Yehuwa.” Perkataan “maka” mengaitkan ayat ini dengan ayat-ayat sebelumnya. Di Yeremia 11:1-10, Yehuwa memberitahu umat-Nya bahawa mereka sudah melanggar perjanjian yang dibuat oleh nenek moyang mereka dengan-Nya. (Keluaran 24:7) Orang Yahudi tidak menyembah Pencipta mereka, tetapi mula menyembah berhala. Oleh sebab mereka meninggalkan Tuhan, mereka melakukan bermacam-macam kejahatan, termasuk membakar anak-anak mereka!—Yeremia 7:31.

 “Aku akan mendatangkan malapetaka atas mereka.” Apabila Bible kata Tuhan melakukan sesuatu, biasanya hal itu bermaksud Tuhan mengizinkan perkara itu berlaku. Bagaimanakah Tuhan mengizinkan umat-Nya yang derhaka ditimpa malapetaka? Akibat perbuatan mereka sendiri, mereka mengundang banyak masalah dan penderitaan. Mereka juga tidak lagi dilindungi Tuhan. Akibatnya, musuh mereka yang kuat, iaitu raja Babilon, telah menakluki Yerusalem dan menjadikan ramai penduduknya sebagai tawanan. Apabila semua itu berlaku, tuhan-tuhan palsu yang mereka sembah tidak dapat menyelamatkan mereka.—Yeremia 11:12; 25:8, 9.

 Adakah Tuhan jahat atau tidak adil kerana membiarkan umat-Nya ditimpa malapetaka? Tidak. Yakobus 1:13 kata, “Tuhan tidak boleh dicubai oleh kejahatan, dan Dia juga tidak mencubai sesiapa pun dengan hal-hal yang jahat.” Memang benar, dalam sesetengah terjemahan Bible, Yeremia 11:11 kata bahawa Tuhan “akan mendatangkan hal-hal yang jahat kepada [orang Yahudi].” Namun, dalam bahasa asal, b perkataan yang diterjemahkan sebagai “hal-hal yang jahat” juga bermaksud “malapetaka” atau “bencana.” Dua perkataan ini tepat menggambarkan apa yang berlaku kepada orang Yahudi.

 “Apabila mereka berseru kepada-Ku untuk meminta tolong, Aku tidak akan mendengar mereka.” Yehuwa tidak mendengar doa orang yang ‘tangan mereka berlumuran darah’ atau orang yang berharap kepada tuhan-tuhan palsu. (Yesaya 1:15; 42:17) Namun, Dia akan mendengar doa orang yang betul-betul bertaubat daripada haluan jahat mereka lalu kembali kepada-Nya.—Yesaya 1:16-19; 55:6, 7.

Konteks Yeremia 11:11

 Pada tahun 647 SM, Yehuwa melantik Yeremia untuk menjadi nabi-Nya. Selama 40 tahun, Yeremia memberikan amaran kepada penduduk Yehuda tentang penghakiman Tuhan yang bakal tiba. Namun mereka tidak mahu mendengar. Pada masa itu, Nabi Yeremia mencatatkan kata-kata yang terdapat di Yeremia 11:11. Akhirnya, pada tahun 607 SM, kata-kata Nabi Yeremia menjadi kenyataan semasa Babilon memusnahkan Yerusalem.—Yeremia 6:6-8; 39:1, 2, 8, 9.

 Buku Yeremia juga mengandungi mesej harapan. Yehuwa berkata, “Selepas kamu berada di Babilon selama 70 tahun, . . . Aku akan menunaikan janji-Ku untuk membawa kamu pulang.” (Yeremia 29:10) Yehuwa menunaikan janji-Nya pada tahun 537 SM semasa kerajaan Media dan Persia menakluki Babilon. Pada masa itu, Yehuwa mengizinkan umat-Nya yang tercerai-berai untuk kembali ke tanah air mereka dan memulihkan ibadat sejati.—2 Tawarikh 36:22, 23; Yeremia 29:14.

 Tonton video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Yeremia.

a Dalam bahasa Ibrani, nama Tuhan terdiri daripada empat huruf atau abjad yang diterjemahkan sebagai “Yehuwa” dalam bahasa Melayu. Untuk mengetahui sebabnya banyak terjemahan Bible menggunakan gelaran “TUHAN” dan bukannya nama Tuhan, lihat rencana “Siapakah Yehuwa?

b Kitab Ibrani yang sering dipanggil Perjanjian Lama, pada asalnya ditulis dalam bahasa Ibrani dan bahasa Aram.