Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

2 Timotius 1:7​—“Tuhan Tidak Menjadikan Kita Penakut”

2 Timotius 1:7​—“Tuhan Tidak Menjadikan Kita Penakut”

 “Hal ini demikian kerana kuasa suci yang diberikan oleh Tuhan tidak menjadikan kita penakut, tetapi memberi kita kuasa, kasih, dan fikiran yang sihat.”—2 Timotius 1:7, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Roh yang diberikan oleh Tuhan kepada kita tidak menjadikan kita penakut, sebaliknya Roh Tuhan melengkapi kita dengan kuasa, kasih, dan kekuatan untuk mengawal diri.”—2 Timotius 1:7, Alkitab Berita Baik.

Maksud 2 Timotius 1:7

 Tuhan boleh membantu kita menjadi berani dan melakukan apa yang betul. Dia tidak mahu kita menjadi “penakut” kerana perasaan itu dapat menghalang kita daripada melakukan hal yang menyenangkan hati-Nya.

 Mari kita lihat tiga sifat dalam ayat ini yang dapat membantu kita mengatasi rasa takut.

 “Kuasa.” Hamba Tuhan pada masa lalu menghadapi ancaman musuh dan situasi yang berbahaya. (2 Korintus 11:23-27) Biarpun begitu, mereka tidak berundur ketakutan. Sebaliknya, mereka terus menyembah Tuhan dengan berani. Apakah yang membantu mereka? Rasul Paulus kata, “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.” (Filipi 4:13) Ya, Tuhan dapat memberi penyembah-Nya “kuasa luar biasa” untuk mengatasi apa pun cabaran.—2 Korintus 4:7.

 “Kasih.” Kasih yang mendalam kepada Tuhan membantu orang Kristian berani untuk berpegang pada apa yang benar. Begitu juga, kasih sesama manusia mendorong mereka untuk mengutamakan orang lain biarpun mereka sendiri mengalami tentangan atau kesusahan.—Yohanes 13:34; 15:13.

 “Fikiran yang sihat.” Dalam Bible, fikiran yang sihat merujuk kepada keupayaan seorang Kristian untuk membuat keputusan berdasarkan Bible. Semasa menghadapi situasi yang susah, dia dapat berfikir dengan jelas dan bersikap munasabah. Dia tahu bahawa hubungannya dengan Tuhan adalah lebih penting daripada pandangan orang lain. Maka, dia akan membuat keputusan yang selaras dengan fikiran Tuhan.

Konteks 2 Timotius 1:7

 Buku Dua Timotius ditulis oleh Rasul Paulus kepada kawan baiknya dan rakan seimannya Timotius. Paulus ingin menggalakkan Timotius yang muda untuk terus mengerahkan usaha dalam khidmatnya. (2 Timotius 1:1, 2) Nampaknya Timotius agak pemalu, dan hal ini mungkin menghalangnya untuk melakukan apa yang terdaya bagi sidang. (1 Timotius 4:12) Tapi Paulus mengingatkannya bahawa peluang untuk berkhidmat kepada sidang ialah kurniaan istimewa daripada Tuhan. Jadi, dia menggesa Timotius untuk tidak teragak-agak semasa melaksanakan tugasnya sebagai penyelia sidang, semasa menginjil, dan semasa menanggung kesusahan demi imannya.—2 Timotius 1:6-8.

 Walaupun kata-kata dalam surat ini pada asalnya ditujukan kepada Timotius, kita juga dapat meraih manfaat daripadanya. Kita dapat yakin bahawa Yehuwa akan membantu kita menghadapi apa saja cabaran dengan berjaya.